Mukhairi mahu cipta memori emas bersama 'keluarga' di Kemboja


  • Podium
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Mukhairi sudah membuktikan kebolehannya untuk mengemudi pasukan dengan posisinya di tengah padang. — Facebook/FAM

PEMAIN tengah, Muhkairi Ajmal bukanlah nama yang janggal bersama skuad kebangsaan apabila dia menjadi watak penting bersama pasukan Bawah 22 tahun (B-22) dalam Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam.

Skuad tersebut beraksi dengan cukup baik sepanjang kejohanan dengan menamatkan kemaraan di peringkat separuh akhir selepas disingkirkan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti.

Kini, dia yang memasuki usia 21 tahun akan sekali lagi mengetuai pasukan, namun kali ini, dia sepertinya lebih mengenali 'keluarga' baharunya.

Ia berikutan rata-rata pemain yang dibawa ketua jurulatih, E Elavarasan turut beraksi pada edisi sebelum ini, yang mana hanya akan menjadi satu kelebihan ketika kempen di Kemboja tahun ini.

"Ketika Sukan SEA sebelum ini, kami memang cukup akrab dan walaupun tewas di penentuan tempat ketiga, hubungan kami cukup baik dan pernah berkata, keluarga ini akan terus kuat untuk edisi akan datang," katanya.

Tegas Mukhairi, pasukannya meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat emas yang mana kali terakhir pasukan negara memenanginya adalah pada 2011 selepas menumpaskan Indonesia di peringkat akhir.

Pemain tengah Selangor FC itu dijangka menjadi watak penting dengan Elavarasan hanya membawa pemain yang berusia di bawah 22 tahun meskipun dibenarkan untuk menggunakan khidmat dua pemain senior.

"Saya lihat kami merupakan skuad yang lengkap dan saya juga harap kami boleh beraksi dengan cukup baik di bawah tunjuk ajar coach Elavarasan.

"Saya juga tidak akan mengambil mudah cabaran kali ini memandangkan kami berada dalam pasukan yang sukar, tetapi ia merupakan peluang untuk kami melakukan sesuatu yang istimewa," katanya.

Pasukan negara diletakkan dalam kumpulan yang sukar bersama Thailand, Vietnam, Laos dan Singapura.

Selain Mukhairi, beberapa pemain lain juga akan memainkan peranan penting di posisi masing-masing, termasuk Harith Haiqal, Sikh Izhan Nazrel serta Haqimi Azim Rosli. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram