LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
SEJURUS ditundukkan 4-0 oleh Selangor FC dalam pusingan kedua Piala FA, 15 April lalu, ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, mentakrifkan permainan pasukan tuan rumah di Stadium MBPJ itu sebagai 'luar biasa'.
Kemudian, selepas meraih keputusan 5-1 untuk kemenangan keempat berturut-turut Selangor FC dalam Liga Super tiga hari sesudah itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, bukan sekadar kecewa, malah menyifatkan pemain-pemainnya beraksi seperti sudah bercuti raya.
Selangor FC, seperti yang tidak segan-silu diakuinya, boleh menang lebih daripada lima gol dengan kualiti pemain yang dimilikinya untuk menghukum kesilapan lawan.
Rentetan lima kemenangan dalam aksi di Lembah Klang, didahului oleh kejayaan menundukkan Kuala Lumpur City FC 3-1, Negeri Sembilan FC 2-1 dan Kelantan FC 3-0, menceritakan perihal skuad Gergasi Merah itu benar-benar sudah bangkit sejak tumpas 0-4 kepada Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium MBPJ, 17 Mac lalu.
Kekalahan kepada JDT benar-benar mengejutkan Selangor FC daripada lamunan. — Facebook/ Selangor FC
“Saya harus akui kekalahan kepada JDT itu adalah ‘kejutan daripada lamunan’ buat kami. Ia satu kekalahan yang agak besar juga,” kata ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, dalam temu bual dengan Laptop Cabuk.
“Sudah tentu JDT berada di level lain. Tapi ia tetap satu pengajaran buat pasukan saya, sekurang-kurangnya kami tahu di mana tahap kami.”
Hikmah daripada ‘pengajaran’ itu, Selangor FC tidak hanya berpeluk tubuh, sebaliknya sentiasa meningkatkan persiapan dan pemain-pemainnya saban hari diingatkan untuk terus mengatasi kekurangan dan mengusahakan peningkatan.
Biarpun mengakui gembira Selangor FC mula mendominasi permainan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super, jurulatih berusia 54 tahun itu, bagaimanapun, menegaskan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
"Ya, kami nampak pemain mempamerkan persembahan terbaik dalam pergerakan sebagai satu pasukan, baik semasa bertahan dan menyerang,” dia dipetik sebagai berkata selepas mengalahkan Terengganu FC -- kemenangan ketujuh liga yang menyaksikan mereka di tangga kedua, berjurang lima mata dengan JDT.
"Namun sebagai jurulatih, Selangor sebenarnya masih belum mencapai sesuatu yang pasukan ini perlukan dalam mengekalkan persembahan mantap,” tambahnya.
Faisal Halim antara pemain yang banyak membantu Selangor untuk mendaki tangga carta liga. — Facebook/ MFL
Ujian lanjut akan menyusul apabila mereka mula bertandang ke gelanggang lawan selepas cuti hari raya ini, dimulai dengan perlawanan menentang Sabah pada 27 April dan Perak pada 20 Mei sebelum kembali menjadi tuan rumah kepada Kedah empat hari kemudian.
“Saya dapat lihat semangat dan kerja keras pemain-pemain dalam latihan. Selagi ada kesungguhan untuk terus memperbaiki diri dan pasukan, saya percaya kami akan dapat menunjukkan kemajuan,” ujarnya.
Seperkara yang mengujakan Cheng Hoe ialah pasukannya kini memiliki 11 pemain berbeza yang sudah mencatat nama dalam senarai penjaring, dengan penyerang kelahiran Colombia, Ayron Del Valle, memimpin dengan tujuh gol liga.
Empat gol Faisal Abdul Halim pula dituruti oleh Brendan Gan dan Noor Al Rawabdeh, masing-masing dengan tiga, manakala dua pemain muda, Rauf Salifu dan Mukhairi Ajmal Mahadi, sudah menyumbat dua kali.
Ayron Del Valle mendahului senarai penjaring terbanyak Selangor FC dengan tujuh gol. — Facebook/ MFL
“Ya, benar. Ia bagus untuk pasukan. Ini menunjukkan kami tidak tidak terlalu bergantung kepada hanya seorang atau dua pemain untuk mendapatkan gol.
“Apa pun, pemain-pemain selalu diingatkan untuk mengutamakan kejayaan pasukan daripada kecemerlangan individu.
“Sebelas penjaring, pada saya, menceritakan kerjasama sepasukan yang baik,” katanya sambil menambah ia turut menepis tuduhan segelintir peminat kononnya Ayron seorang ‘scammer’ gara-gara prestasi kurang meyakinkan pada awal musim.
“Saya sentiasa menaruh kepercayaan kepada Ayron. Ini baru musim pertamanya dan dia pula lewat menyertai pasukan.
“Saya tahu saya perlu bersabar sedikit dengannya kerana dia perlukan masa dengan rakan sepasukan dan persekitaran baru.
“Saya gembira dengan tujuh golnya dalam liga setakat ini, dia akan terus menjadi penyumbang penting buat jaringan pasukan," katanya.
Cheng Hoe (kanan) menghargai sebarang input daripada penolongnya, Ramon Marcote (kiri). — Facebook/ Selangor FC.
Cheng Hoe, Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016 yang lebih gemar berpakaian pejabat dengan kemeja dan berkasut kulit hitam di tepi padang ketika perlawanan, rupa-rupanya seorang yang amat mementingkan perincian sekalipun kepada perkara-perkara kecil.
Tidak hanya kerap menganalisis rakaman video, terutama membabitkan lawan terdekat melalui YouTube dan siaran ulangan televisyen, dia turut menelaah statistik perlawanan melalui Facebook dan data yang dikongsi di laman web Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Di samping itu, Selangor FC turut mengirim peninjau (scout) untuk hadir di gelanggang lawan, yang tugasnya mendapatkan maklumat mengenai apa saja daripada senarai pemain, posisi dan keberkesanan mereka, formasi hingga kepada gaya dan corak permainan yang boleh dimanfaatkan.
“Dalam bola sepak hari ini, sekecil-kecil peratus pengetahuan mengenai lawan yang akan dihadapi, dapat sedikit-sebanyak membantu pasukan dalam merancang permainan.
Cheng Hoe gembira kerana pemain mempamerkan persembahan terbaik dalam pergerakan sebagai satu pasukan. — Facebook/ MFL
“Jangan saya disalahertikan kerana bukan saya seorang, saya percaya ramai lagi jurulatih akan berbuat perkara yang sama.
“Lagipun, ini adalah pasukan Selangor. Dari sebelum musim bermula lagi, saya beritahu pemain, apabila mereka menandatangani untuk pasukan ini, mereka harus tahu segala cabaran dan tuntutan peminat terhadap mereka.
“Tidak terkecuali juga kepada saya sebagai ketua jurulatih, kerana itulah, saya perlu melakukan persiapan secukupnya, termasuk perincian kepada perkara-perkara yang tidak boleh terlepas pandang,” tambahnya.
Mengakui dirinya seorang yang terbuka, Cheng Hoe turut menghargai sebarang input daripada penolongnya, Ramon Marcote dan Nidzam Jamil, yang dianggapnya memiliki persefahaman yang baik dengannya.
“Saya perlukan sepasang atau dua pasang mata tambahan untuk pasukan,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram