Senior di NSFC, PJ City jadi rujukan 'winger' Selangor ke Sukan SEA Kemboja


  • Podium
  • Khamis, 27 Apr 2023

Pengalaman beraksi dalam kejohanan Piala Merlion menjadi bekalan Ruventhiran ke pentas Sukan SEA Kemboja 2023, Mei depan. — Facebook/ FAM

KETIKA beraksi bersama kelab Petaling Jaya City FC (PJ City FC), pemain sayap Bawah 22 tahun (B-22) negara, V Ruventhiran sering bercakap mengenai Sukan SEA dengan bekas rakan sepasukannya, K. Gurusamy dan Mahali Jasuli.

Kedua-dua pemain itu pernah memenangi pingat emas Sukan SEA sebanyak dua kali pada 2009 dan 2011, maka tidak hairanlah jika Ruventhiran menjadi mereka sebagai rujukan dan mengidam untuk bermain di pentas Asia Tenggara.

Impian Ruventhiran berada di ambang kenyataan memandangkan pemain Selangor FC itu merupakan sebahagian daripada pemain yang bakal mewakili negara ke kejohanan Sukan SEA Kemboja 2023.

Ruventhiran menjadi sebahagian daripada 25 pemain yang dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat menjelang kejohanan Sukan SEA berdasarkan pengalamannya beraksi di bahagian sayap skuad senior.

“Sepanjang saya bersama PJ City FC musim lalu, Gurusamy dan Mahali mengajar saya banyak perkara dan berkongsi pengalaman mereka memenangi pingat emas dua kali. Mendengar cerita-cerita itu, saya harap dapat merasai pengalaman serupa.

“Jika terpilih kali ini, Sukan SEA Kemboja akan menjadi edisi yang pertama dan terakhir buat saya kerana pada edisi seterusnya, saya sudah melebihi had umur. Jadi, saya tidak sabar-sabar untuk memberikan segala-galanya.

“Saya percaya jurulatih akan membimbing kami dengan baik dan kami menyasarkan ke final.

"Kami diundi dalam kumpulan yang sukar, namun kami percaya dapat pergi jauh sekiranya mengikut struktur dan taktik yang ditetapkan oleh staf kejurulatihan," katanya.

V. Ruventhiran (left)

Ruventhiran bercita-cita untuk bermain dengan skuad kebangsaan sejak memulakan debut di kelab PJ City FC, dua tahun lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu berjaya membuktikan kemampuannya untuk skuad B-22 negara apabila membantu pasukan memenangi Piala Merlion bulan lalu di Singapura.

Dia juga merupakan salah seorang daripada lima pemain yang pernah beraksi untuk skuad senior di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon ketika kejohanan Piala AFF 2022.

Empat yang lain ialah pemain tengah, Mukhairi Ajmal Mahadi, penjaga gol, Rahadiazli Rahalim, bek kanan, Azam Azmin Murad dan penyerang Haqimi Azim Rosli.

Setakat ini, Ruventhiran sudah memperoleh sembilan caps untuk Harimau Malaya.

Menurutnya, matlamat pertama ketika dia menceburi sukan bola sepak profesional ialah untuk bermain dengan pasukan antarabangsa mengikut peringkat umur.

“Sebenarnya, ketika saya membuat debut profesional untuk PJ City FC dua tahun lalu, matlamat saya adalah untuk bermain dengan pasukan B-23 tahun dahulu.

"Tetapi, penyertaan pertama saya di peringkat antarabangsa ialah bersama Harimau Malaya, dan saya gembira diberi kepercayaan itu,” kata Ruventhiran.

Pasukan kebangsaan B-23 Malaysia berdepan tugas yang cukup besar pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 yang akan berlangsung pada Mei depan apabila diundi dalam kumpulan maut.

Dalam undian itu, skuad kendalian E Elavarasan diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Vietnam, Thailand, Singapura dan Laos.

Kali terakhir skuad negara berjaya memenangi pingat emas adalah 12 tahun yang lalu ketika Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.

Penampilan terakhir Malaysia dalam perlawanan akhir ialah ketika negara menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017 yang menyaksikan Malaysia tewas 0-1 kepada Thailand. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram