SABAN tahun penyokong Liga Malaysia (Liga M) akan menyaksikan beberapa pertukaran pemain sama dan rutin tersebut akan dilakukan sebagai langkah bagi memperkukuhkan pasukan masing-masing untuk terus kekal relevan dalam saingan liga.
Antara yang mencuri tumpuan ketika sesi perpindahan pemain itu, penyokong pastinya tidak sabar untuk melihat beberapa tonggak import disingkirkan dari pasukan dek kerana persembahan yang kurang menepati cita rasa pihak pengurusan.
Tidak kurang juga ada pemain import yang terpaksa dijual kepada pasukan lain bagi membantu menampung perbelanjaan kelab.
Namun begitu, langit tidak selalunya mendung buat tonggak import yang sudah digugurkan dari pasukan Liga M tersebut kerana sebahagian daripada mereka diam-diam mencipta nama di negara lain.
Malah, lebih mengagumkan apabila ada di antara awang import terbabit lebih cemerlang di liga yang jauh kompetettif daripada kancah domestik seperti dalam saingan Liga Amerika Selatan.
Berikut beberapa bekas pemain import dari Liga Malaysia yang semakin menyinar di liga bola sepak negara lain;
1) Juan Martin Lucero
Lucero tiba di JDT pada musim 2016. — Instagram/Lucero
Juan Martin Lucero yang dibawa masuk dari kelab Liga Primera Argentina, Independiente ke bumi Johor pada 2016 itu kini sedang menikmati hari indahnya bersama pasukan Liga Divisyen Satu Brazil, Fortaleza Esporte Clube.
Pemain berusia 31 tahun itu mulai menyarung jersi Fortaleza pada awal musim ini namun sudah menjaring 12 jaringan gol bersama pasukan tersebut, selain membantu membuat lima hantaran bantuan.
Sebelum berhijrah ke pasukan Fortaleza, pemain berketinggian 1.79 meter itu menaburkan khidmatnya di negara Amerika Latin seperti Mexico, Chile dan juga negara kelahirannya, Argentina
Untuk rekod, Lucero beraksi selama satu musim bersama JDT berjaya merekodkan 37 penampilan dalam semua pertandingan dan menjaringkan 27 gol secara keseluruhannya.
Musim 2016 juga menyaksikan dia berjaya membantu JDT merangkul tiga kejuaraan iaitu Liga Super, Piala FA dan juga Piala Sumbangsih, sebelum dilaporkan dibeli oleh Club Tijuana dengan harga sekitar RM11.5 juta.
2) Mahmoud Al-Mardi
Khidmat Al-Mardi didapatkan pada musim lalu untuk membantu Kedah pada saingan Piala AFC. — Instagram/AlMardi
Pernah dilabel sebagai pembelian berbaloi Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al-Mardi yang berhijrah ke bumi Darul Aman pada jendela perpindahan kedua musim lalu masih menjadi igauan para penyokong.
Jodoh pemain kebangsaan Jordan itu dengan Sang Kenari hanya bertahan selama tujuh bulan apabila kontraknya tidak disambung bersama empat lagi tonggak import iaitu Ronald Ngah Wanja, Dechi Marcel, Marc Vales dan Sanrawat Dechmitr.
Perjuangannya tidak berhenti di situ apabila dia yang sebelum ini dikaitkan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) semakin menempa nama bersama pasukan di Liga Kuwait, Qadsia SC.
Pemain berusia 29 tahun itu sedang mengembangkan kariernya di Kuwait. — Instagram/AlMardi
Bersama pasukan tersebut, pemain sayap kiri itu sudah merekodkan satu gol dan tampil dalam lima perlawanan sejak tiba di pasukan berkenaan pada Februari lalu.
Al-Mardi yang memiliki sebanyak 25 penampilan bersama skuad kebangsaan Jordan itu merekodkan sembilan jaringan daripada 19 perlawanan bersama KDA FC.
3) David Da Silva
Da Silva juga pernah menyarung lilitan kapten ketika bersama TFC. — Instagram/DaSilva
Siapa sangka pemain yang pernah disisihkan pasukan Terengganu FC (TFC) sebelum saingan Piala Malaysia musim 2021, David Da Silva semakin cemerlang membantu kelab Persib Bandung dalam saingan Liga 1 Indonesia.
Musim ini sahaja, pemain berusia 33 tahun itu tampil beraksi sebanyak 33 perlawanan bersama Persib Bandung dan menghasilkan 24 gol setakat ini, selain membantu mencipta lima bantuan hantaran.
Antara aksi Da Silva bersama pasukan Persib Bandung. — Instagram/DaSilva
Jika dibandingkan pada musim lalu, import dari Brazil itu hanya mencetak sembilan jaringan gol buat Persib Bandung dan perubahan drastiknya itu membuatkan sebahagian skuad Sang Penyu cemburu.
Sewaktu bersama pasukan Pantai Timur itu, penyerang yang mendapat jolokan DDS dalam kalangan penyokong TFC itu hanya mencetak tujuh gol serta diturunkan dalam 15 perlawanan sahaja sepanjang musim 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram