Kelantan FC silap rekrut pemain? Fans Brazil label rakan Nuha Marong setaraf Bergson


  • Podium
  • Rabu, 26 Apr 2023

Pemain-pemain Bashundhara Kings meraikan jaringan Fabinho (tengah) menentang Gokulam Kerala dalam perlawanan Piala AFC 2022. — Agensi

SEBELUM ini nama penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong @wrexhamfcbrazil yang mahukan kelab berpangkalan di Wales itu merekrut penjaring terbanyak Liga Super musim lepas.

Musim lalu, 29 gol yang dijaringkan dalam hanya 19 penampilan cukup membanggakan, yang membolehkannya muncul sebagai pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super untuk dua tahun berturut-turut.

Statistik yang cukup hebat itu menarik perhatian ramai pihak, termasuk agensi media antarabangsa yang kagum dengan pulangannya di hadapan pintu gol.

Namun sebelum penyokong @wrexhamfcbrazil menyebut nama Bergson, mereka terlebih dahulu tertarik dengan pemain yang sedang bermain di dalam Liga Bangladesh iaitu Robinho.

Robinho ketika ini bermain bersama Bashundhara Kings. — Agensi

Untuk pengetahuan Robinho dan Nuha Marong pernah bermain bersama-sama dalam satu pasukan pada 2021-2022 dengan mewakili Bashundhara Kings.

Selepas semusim di Bangladesh, Nuha memilih untuk berhijrah ke Liga India sebelum datang ke Malaysia untuk bersama skuad The Red Warriors (TRW) pada musim ini.

Namun setakat ini Nuha masih boleh menunjukkan kebolehannya sebagai penyerang yang pernah mewakili skuad kebangsaan Gambia apabila masih kemarau gol dalam Liga Super.

Statistik Nuha dan Robinho jelas menunjukkan pemain berasal dari Brazil itu lebih cemerlang ketika mereka bermain bersama-sama dengan mencatatkan 16 gol, 11 assist dalam 20 penampilan.

Manakala musim ini pemain berusia 27 tahun itu merekodkan tujuh gol dan enam assist dalam 11 penampilan bersama Bashundhara Kings.

Robinho (kiri) dan Nuha (kanan) meraikan jaringan gol bersama-sama. — Agensi

Menurut laman sesawang Transfermarkt, pemain berketinggian 1.78 meter ini boleh bermain di pelbagai posisi antaranya bahagian sayap, tengah dan serangan.

Sebelum ini kapten Bashundhara Kings banyak bermain di sekitar Brazil dengan menyertai enam buah kelab dalam liga negara itu.

Penyokong @wrexhamfcbrazil meletakkan Robinho dan Bergson berada dalam kelas yang sama apabila mencadangkan dua nama pemain itu ke pihak pengurusan tertinggi Wrexham FC melalui sosial media.

Dengan jendela perpindahan Liga Malaysia yang dijangka buka pada Jun, pasukan-pasukan Liga Super sudah boleh mula mengintai bekas rakan Nuha Marong ini untuk memperkuatkan barisan serangan kelab masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram