‘Patut dah main liga luar’, fans sinikal Dion Cools bantu Buriram United takluk Thai League 1


  • Podium
  • Ahad, 23 Apr 2023

Dion Cools menjuarai Liga Thailand bersama Buriram United. — Facebook/Buriram United

KELAB gergasi Thailand, Buriram United mengesahkan kejuaraan Thai League 1 2022/23 menjadi milik mereka selepas berjaya menundukkan Chiang Rai United 2-1, pada Sabtu.

Dalam perlawanan itu, pemain warisan negara, Dion Cools beraksi selama 15 minit apabila dia masuk menggantikan pemain tengah, Peeradon Chamratsamee pada minit ke-75.

Hanya memerlukan satu mata bagi mengesahkan kejuaraan buat kali kelapan, Buriram United tampil dengan lebih baik menguasai permainan sebaik wisel permulaan ditiupkan pengadil.

Kapten pasukan kebangsaan itu turut menzahirkan rasa kegembiraannya di Instagram melalui Insta Story dengan memuat naik gambar bersama pasukan dan trofi kejuaraan.

Cools dalam aksi menentang Chiang Rai United. Facebook/Buriram United

Namun begitu, kemenangan Buriram United itu mendapat usikan daripada penyokong di negara ini apabila sempat menyindir adakah pasukan diwakili Cools itu diminta untuk bermain di liga luar negara gara-gara terlalu unggul di Thailand.

Usikan itu sama seperti kelab elit negara, Johor Darul Takzim (JDT) yang dilihat terlalu unggul dalam saingan domestik.

"Buriram patut main liga luar, dia dah level Asia tak sesuai main Liga Thailand," kata Cepp Sym.

"Fans dekat Thailand ada tak suruh Buriram itu main liga luar? Selalu dia saja menang, kalau tak rosak Liga Thailand," jelas Somat Riz.

"Dalam 10 tahun Buriram dah menang tujuh kali, tak ada yang suruh Buriram main Liga Jepun atau Korea ke?" soal Mohd Firdaus.

JDT

Pasukan JDT ketika berdepan PDRM FC pada Rabu. Facebook/JDT

Sebelum ini kecoh dalam sosial media apabila ada cadangan yang mahukan JDT agar meninggalkan saingan Liga Malaysia dan beraksi di liga luar negara.

Pemilik JDT, Tengku Mahkota Johor (TMJ) turut merasakan cadangan pasukan Harimau Selatan itu main di luar negara adalah sesuatu yang tidak logik.

“Benda itu tidak logik (main liga luar) kerana kita tak tengok Bayern Munich main di EPL, PSG main di Serie A atau Real Madrid main di England.

“Setiap kelab perlu ada perancangan yang realisitik, dan kita bersaing. Kita tak lihat Atletico Madrid, Sevilla atau Villareal mengadu mengenai Real Madrid. Semua kelab ada perancangan sendiri untuk terus bersaing,” jelas TMJ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram