Fans Selangor jelaskan kenapa Gergasi Merah lebih layak digelar 'King of Malaya', bukannya JDT


  • Podium
  • Ahad, 23 Apr 2023

Selangor FC dalam kejohanan Piala AFC pada 2016. — Facebook

'KING of Malaya', itulah gelaran yang begitu sinonim dengan bekas pasukan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari iaitu Selangor FC.

Sepanjang karier sebagai pemain bola sepak bersama Selangor FC, Mokhtar berjaya membantu skuad Gergasi Merah memenangi pelbagai kejohanan, terutamanya Piala Malaysia.

Selangor yang tertubuh sejak 1936 sememangnya sebuah kelab yang kaya dengan sejarah bola sepak di negara ini.

Gergasi Merah memenangi pelbagai kejuaraan sehingga berjaya mengorak langkah ke pentas tertinggi kejohanan Asia.

Selangor di Asian Champion Club Tournament 1967. — Facebook

Meskipun kini Johor Darul Takzim (JDT) mendominasi Liga Malaysia sejak 2014 namun gelaran 'King of Malaya' masih kekal milik pasukan dari Lembah Klang itu.

Salah seorang penyokong Selangor di media sosial menjelaskan skuad Gergasi Merah layak digelar 'King of Malaya' kerana berjaya mencipta pelbagai kejayaan domestik termasuk di pentas Asia.

"Ikut pada list official yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), rupanya Selangor dah lama berada dalam peringkat tertinggi Asia.

"Menjadi naib juara untuk kejohanan pertama paling berprestij di Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang ditubuhkan pada 1967 sebelum penjenamaan semula pada 2002 sehingga kini," katanya.

Medal naib juara Asian Champion Club Tournament 1967. — Facebook

Pada edisi pertama pertandingan kelab-kelab Asia itu, sepatutnya lapan pasukan dijadualkan mengambil bahagian.

Selangor adalah wakil dari Malaysia, manakala Vietnam Customs pula mewakili Vietnam. Pasukan-pasukan lain yang mengambil bahagian adalah South China (Hong Kong), Bangkok Bank FC (Thailand), Korea Tungsten Company (Korea Selatan), dan Hapoel Tel Aviv (Israel).

Perjalanan Selangor di pertandingan edisi pertama kelab-kelab Asia itu bagaimana pun berakhir sebagai naib juara selepas tewas kepada Hapoel Tel Aviv dengan jaringan 2-1 di perlawanan akhir.

Walaupun gagal memenangi pertandingan kelab-kelab Asia edisi sulung tersebut, Selangor boleh berbangga pada ketika itu kerana mengharungi perlawanan daripada pusingan pertama.

Kali terakhir Selangor berada di pentas Asia ialah pada 2016 dalam kejohanan Piala AFC 2016 yang mana skuad Gergasi Merah itu gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati dalam kumpulan E. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram