JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dijangka dibuka pada Julai bagi memberi peluang pasukan bertanding dapat menambah baik skuad masing-masing.
Pastinya, pertukaran pemain import akan berlaku apabila mereka tidak boleh beraksi dengan baik sepanjang pusingan pertama liga.
Antara kelab yang mula dikaitkan dengan kemasukan pemain-pemain baharu ialah Johor Darul Takzim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Selangor FC, Kelantan FC, Perak FC dan lain-lain lagi.
Nama bintang Colombia, Frank Castañeda juga kini antara pemain import yang dikaitkan akan ke Liga Malaysia dengan menyertai Selangor FC.
Ia dijangka bakal mengisi slot import kesembilan Selangor bagi memperkuatkan barisan serangan skuad Gergasi Merah itu.
Castañeda ketika menjadi kapten pasukan FC Sheriff. — Agensi
Siapakah Frank Castañeda?
Frank Andersson Castañeda Vélez atau lebih dikenali sebagai Castañeda ialah bekas kapten FC Sheriff yang menewaskan Real Madrid dalam kejohanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Santiago Bernabéu, Sepanyol pada 29 September 2021.
Castañeda merupakan seorang pemain yang boleh beraksi sebagai penyerang, pemain sayap dan pemain tengah menyerang.
Pemain berusia 28 tahun ini banyak menghabiskan karier sebagai pemain bola sepak di negara Eropah seperti Liga Slovakia, Poland dan Moldova.
Dia juga pernah menyarung jersi pasukan Caracas FC, Orsomarso SC (Colombia) dan Buriram United (Thailand) pada musim lepas.
Pemain Colombia itu merupakan pemain sayap serba boleh yang mampu digunakan di posisi tengah mahupun di kawasan serangan.
Gaya permainannya adalah berdasarkan pergerakan tanpa bola, hantaran kreatif dan kebolehan jika sedang memegang bola.
Castañeda beraksi bersama Buriram United musim lalu. — Facebook/Buriram United
Dia juga rajin untuk membantu rakan sepasukan di setiap ruangan ketika bertahan yang mana mampu membentuk serangan ke atas pihak lawan semasa peralihan pertahanan.
Menurut laman sesawang Transfermarkt, sepanjang bergelar pemain bola sepak, Castañeda melakukan 177 penampilan berserta 78 jaringan gol dan 41 assist dalam setiap kelab yang diwakilinya.
Untuk rekod, Castañeda musim ini beraksi di Liga Poland bersama kelab Radomiak Radom selepas meninggalkan Buriram United dan sudah melakukan enam penampilan buat kelab itu.
Kehadiran pemain lincah ini sudah pasti akan menambah kekuatan skuad Gergasi Merah itu apatah lagi mempunyai pengalaman luas beraksi di Liga Thailand, Colombia dan sekitar Eropah.
Musim ini, Selangor menandatangani bekas penjaring terbanyak Liga Colombia, Ayron del Valle, Yohandry Orozco, Noor Al-Rawabdeh, Rauf Salifu serta mengekalkan pemain import musim lalu iaitu Yazan Al-Arab, Alex Agyarkwa dan Hein Htet Aung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram