GARA-GARA dikhabarkan bakal tinggalkan Thailand lebih awal, nama pemain sayap lincah negara, Safawi Rasid kembali menjadi topik perbualan penyokong bola sepak tempatan buat masa ini.
Pada penghujung musim lalu, Safawi menyertai kelab Ratchaburi FC secara pinjaman daripada Johor Darul Takzim (JDT) selama semusim bagi mengisi kuota pemain import Asean pasukan tersebut.
Safawi difahamkan tidak akan menghabiskan tempoh pinjamannya di kelab Thailand, Ratchaburi FC dan sudah dikaitkan dengan beberapa kelab di Malaysia yang ingin mendapatkan khidmatnya ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).
Berdasarkan khabar angin yang bertebaran di media sosial, pemain kelahiran Dungun, Terengganu ini difahamkan akan mengikut jejak langkah pemain JDT lain dengan menyertai Sri Pahang FC.
Namun rata-rata penyokong Terengganu FC (TFC) menegaskan Safawi wajib sertai skuad Penyu jika mereka mahu bersaing dengan pasukan-pasukan dalam Liga Super.
Kualiti yang dimiliki Safawi, baik dari segi hantaran mahupun gelecek pastinya merupakan satu daya tarikan dan merupakan pilihan terbaik Terengganu untuk memperbaiki serangan pasukan.
Safawi menjaringkan gol sulungnya bersama skuad The Dragons ketika aksi Liga 1 Thailand pada Mac lalu. — Instagram/Safawi
"Safawi dah tak power? Takkan nak pakai pemain muda yang tak ada pengalaman, nanti bila kalah penyokong juga yang kecam.
"TFC sekarang memang kena ada boost dari segi kualiti sebab nak cari local player bagus pada jendela perpindahan kedua memang susah," kata Ibnu Hris.
"Setuju Safawi main untuk TFC, sebab dia rajin dan banyak buka peluang yang mana pasukan Terengganu sekarang memang memerlukan pemain macam itu," ujar Woh Nyor.
"Pengalaman dia lebih, untunglah kalau dapat bermain dengan TFC buka laluan untuk dia nanti," jelas Lan Taman.
Sebelum ini, Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Safawi Rasid bagi membantu pasukan itu yang kini berada dalam prestasi tidak menentu.
Menurutnya, TFC akan cuba mendapatkan Safawi sekiranya JDT sedia melepaskan pemain sayap kebangsaan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram