Bukan saja 2 pemain lokal, Tim Cahill terbabit projek terkini TMJ?


  • Podium
  • Rabu, 26 Apr 2023

TMJ difahamkan akan melaksanakan projek baharu pada musim ini.

JOHOR Darul Takzim (JDT) sekali lagi mencuri tumpuan apabila pengurusan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) mendapat pengiktirafan dengan menerima jemputan sebagai ahli Persatuan Pengurusan Venue (Asia dan Pasifik) (VMA).

VMA ialah sebuah organisasi mewakili industri venue profesional dari Australia, New Zealand dan benua Asia dan rumah keramat Harimau Selatan itu merupakan ahli pertama VMA dari Malaysia.

Menurut laman rasmi JDT di Facebook, SSI menarik perhatian VMA kerana profesionalisme pihak pengurusan dari segi menjaga kemudahan stadium dan reputasi yang dimiliki SSI itu sendiri.

Bukan hanya berita tersebut, penyokong Harimau Selatan juga dihidang dengan khabar angin menggembirakan apabila legenda pasukan kebangsaan Australia, Timothy Filiga Cahill ataupun lebih dikenali sebagai Tim Cahill berkemungkinan berada dalam projek baharu pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

WhatsApp Image 2023-04-26 at 3.29.30 PM

Tangkap layar interaksi antara TMJ dan Tim Cahill.

Khabar angin itu bermula apabila Tunku Ismail memberi respons ‘see you soon Tim’ terhadap komen yang ditinggalkan bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton itu di hantaran beliau.

Oleh sebab itu, ramai penyokong JDT mulai membuat spekulasi bahawa interaksi antara dua tokoh bola sepak itu ada kaitan dengan projek baharu TMJ yang sebelum ini hangat diperdebatkan.

Sebelum saingan Liga Super musim 2023 bermula, TMJ pernah memberi petunjuk akan melaksanakan satu projek baharu untuk kelab Harimau Selatan beserta kapsyen ‘Next project. #Whatcantheydo’.

Antara pemain Harimau Selatan yang diberi bayangan akan berada dalam projek TMJ tonggak tengah JDT, Syamer Kutty dan bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi.

Para penyokong JDT juga nampak semakin teruja dengan apa yang akan dilakukan oleh TMJ terhadap kelab elit kendalian ketua jurulatih, Esteban Solari dalam mengukuhkan kejuaraan dan kecemerlangan pasukan itu.

WhatsApp Image 2023-04-26 at 3.30.04 PM

Syamer antara salah satu pemain yang berada dalam projek baharu itu.

Namun begitu, belum ada sebarang pengumuman rasmi lagi berkenaan perkara itu dan berkemungkinan Tim Cahill hanyalah memberi komen sebagai seorang rakan kepada Tunku Ismail.

Sebelum ini, Tim Cahill juga pernah memuat naik video sedang menyaksikan perlawanan Liga Juara-juara AFC di antara pasukan JDT menentang Kawasaki di Stadium Sultan Ibrahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram