Lupakan hajat ke Sri Pahang, Safawi perlu ikut kelab 3 guru untuk kembali menyengat


  • Podium
  • Selasa, 25 Apr 2023

Safawi difahamkan tidak akan menghabiskan tempoh pinjamannya di kelab Thailand, Ratchaburi FC. — Instagram/Safawi

GARA-GARA dikatakan bakal tinggalkan Thailand lebih awal, nama pemain sayap lincah negara, Safawi Rasid kembali menjadi topik perbualan penyokong bola sepak tempatan buat masa ini.

Safawi difahamkan tidak akan menghabiskan tempoh pinjamannya di kelab Thailand, Ratchaburi FC dan sudah dikaitkan dengan kelab Pantai Timur, Sri Pahang FC yang ingin mendapatkan khidmatnya ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).

Walaupun pemain berusia 26 tahun itu sudah kelihatan kembali ke kem latihan skuad Ratchaburi selepas diberi pelepasan bagi sambutan Aidilfitri baru-baru ini, namun desas-desus Safawi kembali ke Liga M masih hangat diperkatakan.

WhatsApp Image 2023-04-25 at 17.12.24

Safawi ketika sesi latihan Ratchaburi. — Agensi

Kualiti yang dimiliki Safawi, baik dari segi hantaran mahupun gelecak pastinya merupakan satu daya tarikan dan merupakan pilihan terbaik skuad Tok Gajah untuk mengisi slot posisi sayap pasukan berkenaan.

Namun, jika dilihat prestasi Safawi yang masih tercari-cari potensi sebenarnya, pemain kelahiran Terengganu itu dinasihatkan untuk cuba bermain di bawah kendalian tiga bekas jurulatihnya secara pemain tetap dan bukannya pinjaman.

Oleh itu, daripada menyarung jersi Sri Pahang, terdapat tiga lagi pasukan yang lebih sesuai untuk kapten skuad kebangsaan itu untuk kembali berguru dengan bekas jurulatihnya.

1) Tan Cheng Hoe (Selangor FC)

WhatsApp Image 2023-04-25 at 17.12.49

Safawi bersama Cheng Hoe ketika pengendali itu masih bertugas bersama Harimau Malaya. — Agensi

Hubungan bekas pemain Terengganu itu dengan Tan Cheng Hoe bermula ketika pengendali berkenaan menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan pada 2017 sehingga 2021.

Namun sepanjang di bawah sentuhan bekas pengendali KDA FC itu, Safawi juga berada di puncak kariernya yang mana dia pernah membuat kejutan dengan menjadi pemain pertama mencetak hatrik bagi kejohanan Piala AFF 2020.

Bukan itu sahaja, Cheng Hoe juga merupakan individu yang sentiasa menyokongya untuk melebarkan sayap sehingga dapat beraksi di salah satu liga terbaik di Eropah iaitu kelab dari Portugal, Portimonense SC.

Sekiranya Safawi ingin kembali bersatu bersama Cheng Hoe, pasukan Selangor adalah pilihan tepat dan dia juga akan mudah membina keserasiannya bersama pemain lain berikutan ramai tonggak Harimau Malaya di skuad Gergasi Merah.

2) Datuk Ong Kim Swee (Sabah FC)

WhatsApp Image 2023-04-25 at 17.12.33

Safawi bersama Kim Swee ketika beliau melatih pasukan B-22 negara. — Agensi

Datuk Ong Kim Swee bukan nama asing lagi buat pemain sayap kanan itu berikutan beliau pernah membimbingnya ketika melatih skuad kebangsaan serta skuad Bawah-22 Tahun negara pada sekitar 2017 hingga musim 2019.

Bukan itu sahaja, Kim Swee cukup dikenali sebagai jurulatih yang mampu mengembalikan potensi pemain dan buktinya beberapa tonggak Harimau Muda yang kini mengikut jejaknya di Sabah FC sudah kembali menjadi tonggak penting The Rhinos.

Antara bekas anak muridnya yang kini membantu memperkukuhkan pasukan Sabah FC ialah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Irfan Fazail, Dominic Tan dan Gary Steven Robbat.

Perpindahan ke kelab berpangkalan di Borneo itu juga dapat memberi jaminan buat Safawi yang dahagakan minit permainan dan sekali gus mampu mengembalikan kualiti yang dimiliki pemain itu.

3) Tomislav Steinbruckner (Terengganu FC)

pawi 2019

Safawi merupakan produk T-Team yang dibimbing Tomislav pada 2018. — Agensi

Jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner yang kini menjadi pengendali Terengganu FC (TFC) merupakan guru ketiga Safawi ketika dia menyarung jersi T-Team pada 2016.

Tomislav yang pernah membimbing T-Team pada 2015 sehingga 2018 merupakan individu terawal mengembangkan Safawi sehingga dia dapat menarik minat juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) pada musim 2017.

Malah, Tomislav juga sudah menyatakan hasratnya untuk membawa tonggak Harimau Malaya itu sekiranya Safawi dibenarkan untuk dipinjamkan oleh skuad Harimau Selatan.

Dengan pengalaman yang dimiliki Safawi, dia merupakan pilihan tepat untuk mengisi slot tonggak sayap berikutan buat masa ini skuad Sang Penyu masih tidak menjumpai pemain sesuai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram