[VIDEO] 'Main pakai otak' video kerjasama JDT buat 'haters' membara


  • Podium
  • Selasa, 25 Apr 2023

JDT kekal jadi pendahulu Liga Super 2023 dengan kutipan 27 mata. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) diramal sekali lagi akan memenangi Liga Super apabil musim ini skuad Harimau Selatan menunjukkan lagi kelas mereka dengan berjaya mengekalkan rekod kemenangan dalam sembilan perlawanan berturut-turut.

Detik Harimau Selatan mulai menjadi pasukan tiada tandingannya dalam Liga Super bemula sejak 2014 yang mana ketika itu JDT memenanginya di bawah kendalian Cesar Ferrando Jimenez selain turut dibantu Bojan Hodak sebagai pengurus pasukan.

Bukan hanya cemerlang di peringkat kancah domestik, JDT juga membuktikan bahawa mereka bukan ‘juara kampung’ apabila muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Detik bersejarah itu dicipta ketika skuad Harimau Selatan menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan pada 31 Oktober 2015.

Tidak terhenti di situ, kisah dulu yang dianggap dongeng juga terus menjadi kenyataan apabila Harimau Selatan mara ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat kali pertama pada 2022.

WhatsApp Image 2023-04-25 at 10.42.56

Solari dilantik sebagai ketua jurulatih JDT pada 1 Disember 2022, menggantikan rakan senegaranya Héctor Bidoglio. — Facebook/JDT

Musim ini dengan campuran dari pemain senior JDT, tonggak baharu dan sentuhan pengendali muda dari Argentina, Esteban Solari, JDT nampaknya hadir dengan taktikal yang lebih menyengat sehingga membuatkan pasukan lawan terduduk.

Menerapkan corak permainan memukau termasuk ‘high pressing’ yang seiring dengan gaya bola sepak moden, taktik Solari membuahkan hasil apabila JDT sudah mencetak 38 jaringan gol setakat sembilan perlawanan.

Dalam satu hantaran di laman rasmi kelab itu, pasukan berkenaan berkongsi video bagaimana JDT hanya memerlukan 14 hantaran dalam 40 saat untuk menjaringkan gol.

Situasi memukau yang membuktikan corak permainan JDT berbeza dengan kelab lain itu dibuat ketika perlawanan JDT menang 7-0 ke atas pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi saingan Liga Super 2023.

“Semua main pakai otak." komen penyokong Harimau Selatan, Fazly Zulkiflee yang memuji corak permainan JDT itu.

“Kan seronok kalau pasukan lawan main bola sepak moden begini. Baru rancak, ini masih lagi hantar bola ke depan, lari kejar bola. Lepas itu crossing, penyerang luar kotak. Hmmmm, komen penyokong, Nasrl Ghazali.

“Ini yang haters lagi merah mata....berbara di hati,” kata seorang lagi penyokong JDT, Mohd Hozani Hamdan.

Selepas ini, JDT dijadual menentang Kelantan United (KUFC) pada 13 Mei yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram