Diam-diam borong baju Melayu, Yazan kongsi kemeriahan sambut Aidilfitri di Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 26 Apr 2023

Yazan (dua kiri) bersama beberapa tonggak Selangor FC berpakaian baju Melayu dengan lengkap bersamping dan bersongkok. — Instagram/Hijabistahub

SIAPA sangka selepas hampir dua tahun berkelana di bumi Malaysia, pemain import Selangor FC, Yazan Al-Arab semakin menunjukkan minatnya dalam mempelajari dan mencintai budaya serta tradisi masyarakat Melayu.

Salah satu bukti pemain import dari Jordan itu semakin menyukai budaya di Malaysia ialah apabila Yazan mendedahkan bahawa ingin memborong baju Melayu dań diberikan kepada keluarga dan rakan-rakannya di kampung halamannya.

Yazan yang mulai menyarung baju tradisi masyarakat Melayu itu pada tahun lepas akui bahawa dia sangat menyukai pakaian tersebut dan teruja untuk menyarungnya ketika Aidilfitri.

“Tahun ini bukan kali pertama saya memakai baju Melayu. Tahun lepas juga saya memakainya. Ia (baju Melayu) sangat menarik untuk dipakai. Semua orang di negara saya suka baju Melayu. Semua beritahu saya dan Noor Al-Rawabdeh bahawa baju Melayu sangat-sangat selesa dan mereka (keluarga dan rakan saya) sukakannya.

“Sudah pastinya saya akan belikan mereka baju Melayu sebelum kembali ke tanah air nanti,” katanya kepada Majoriti.

Baru-baru ini, beberapa pemain Gergasi Merah termasuk pemain berusia 27 tahun itu dan Al-Rawabdeh dilihat segak berpakaian baju Melayu dengan lengkap bersamping dan bersongkok dalam salah satu iklan untuk rakan rasmi Selangor FC iaitu jenama pakaian terkenal, HijabistaHub.

Selain itu, tonggak pertahanan skuad The Red Giants itu juga turut berkongsi bahawa tiada perbezaan ketara merayakan 1 Syawal di Malaysia dan negara asalnya di Jordan walaupun kedua-duanya dari benua yang berbeza.

Malah dia juga teruja menyambut perayaan Aidilfitri untuk kali kedua di negara ini, selain berharap dapat membawa keluarganya untuk mencuba suasana dan kemeriahan bulan Syawal di Malaysia khususnya Selangor.

“Musim ini saya akan raikan Aidilfitri dengan rakan sepasukan. Di Selangor ini saya dah rasa macam berada di negara sendiri, Selangor adalah keluarga kedua saya. Mungkin kami (rakan import lain) akan jemput keluarga untuk datang ke Malaysia bagi melawat kami dan tinggal bersama kami..

“Saya rasa perayaan Aidilfitri di Malaysia hampir sama dengan di negara saya. Sebab di Jordan pun akan melawat ibu bapa, keluarga, menikmati makanan tradisional. Saya rasa sama saja,” kongsinya.

WhatsApp Image 2023-04-17 at 21.05.55

Yazan merupakan pilihan utama pengendali Tan Cheng Hoe untuk mengemudi jentera pertahanan. — Instagram/SelangorFC

Dalam pada itu, pemain kebangsaan Jordan itu juga berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan dalam saingan Piala FA musim 2023 hingga layak ke peringkat akhir, selain turut memberi tumpuan untuk kekal berada dalam kalangan tiga teratas Liga Super.

“Musim ini, Kami fokus untuk Piala FA untuk dapatkan kemenangan. Semua pun tahu Selangor adalah salah satu kelab berpengaruh di Malaysia, jadi kami akan fokus setiap perlawanan untuk dapatkan tiga mata untuk kekal berada di atas.

“Setiap pemain ada tanggungjawab. Kami perlu mendengar nasihat jurulatih dan kami akan kekal begini (konsisten) dalam perlawanan seterusnya. Insya-ALLAH,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram