PENGENDALI legenda Kedah Darul Aman (KDA) FC, Azraai Khor Abdullah cukup dikenali sebagai jurulatih yang masih gemar memberi nasihat dan pandangannya terhadap bola sepak tempatan terutamanya senario yang berlaku di Sang Kenari.
Sama ada melalui wawancara bersama media ataupun luahan di media sosial, jurulatih berusia 71 tahun itu masih aktif memberikan padangan peribadinya dan penyokong juga menerimanya dengan baik.
Segala lontaran daripada Azraai Khor dipersetujui kerana beliau akan memberi pendapat berdasarkan pengalamannya menjadi jurulatih Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan juga Harimau Muda.
Walaupun membimbing banyak pasukan, namanya cukup megah dalam dunia bola sepak tanah air ketika membimbing Kedah FA menjadi sebuah pasukan terbaik dari tahun 2006 hingga 2008.
Jurulatih kelahiran Kedah itu berhasil membawa Sang Kenari merangkul gelaran double treble selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008 dan disebabkan itu namanya masih disebut-sebut sebagai pengendali paling berjaya di Liga Malaysia.
Menarik perhatian, Azraai Khor baru-baru ini melontarkan hasratnya untuk berkongsi pengalaman bersama pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar dan perkara itu disambut baik oleh penyokong Sang Kenari.
“Sharing is caring... Keep positive Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar. Wiling to share the experience kalau Tan Sri sudi dengar. It cost nothing,” tulisnya pada ruang komen hantaran pemilik KDA FC itu pada Isnin.
Daud Bakar ketika turun menyokong KDA FC.— Instagram/Mohd Daud Bakar
Pada Isnin, Daud bakar barkongsi nasihat mengenai tanda kematangan dan kebijaksanan seseorang dan hantarannya itu mencuri perhatian Azraai Khor.
“Tujuh tanda kematangan/kebijaksanaan. Tidak ambil kisah sangat perkara kecil, remeh temeh, sampingan, peribadi dan khususnya perihal orang lain. Menggunakan masa dan energi sepenuhnya untuk jauhkan diri dari orang yang negatif dan toxic/beracun. Kurang bercakap tentang masalah, lebih banyak bercakap tentang cara menyelesaikan sesuatu masalah.
“Lebih banyak membina persahabatan dan kasih sayang daripada permusuhan dan konflik Berfikir untuk orang lain lebih dari diri sendiri (ini juga tanda keimanan). Berbincang dan berdiskusi perkara yang boleh dikawal (controlable items) dan kurangkan diskusi dan polemik tentang perkara yang di luar kawalan (uncontrolable items). Boleh berhenti sekejap (pause) untuk berfikir sejenak sebelum bercakap atau bertindak,” tulis pemilik KDA FC itu.
Walaupun Daud Bakar tidak membalas komen tersebut, namun rata-rata penyokong berharap untuk melihat dua individu berpengaruh KDA FC itu berkongsi pentas yang sama untuk membincangkan mengenai masa depan Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram