[VIDEO] Kerja 'gila' pelajar MSU berbaloi, cipta Guinness World Records maraton pakai baju Melayu


Mohd Syahidan berjaya dalam percubaan Guinness Book Of Records untuk maraton penuh terpantas dalam Baju Melayu di Marathon London.

SIAPA sangka idea ‘gila’ untuk membuat maraton penuh sambil memakai baju Melayu yang selama ini hanyalah andan-angan sahaja berhasil direalisasikan oleh seorang lelaki bernama Mohd Syahidan Alias.

Pelari maraton dan jurulatih larian Malaysia itu berjaya dalam percubaan Guinness Book Of Records untuk maraton penuh terpantas sambil mengenakan baju tradisional itu di Marathon London baru-baru ini.

Rekod bersejarah itu dikongsikan menerusi laman media sosial miliknya dan lelaki yang mesra dengan sapaan Edan Syah itu menamatkan maraton dengan berbaju melayu buatan Bulan Bintang dengan catatan masa 2 jam, 49 minit dan 22 saat.

“Alhamdulilah, Misi tercapaiI! Kami mencapai misi di bawah 3 jam; sebagai Pemegang Rekod Dunia Guinness: Marathon Penuh Terpantas (42.2km) dalam pakaian Melayu tradisional (Lelaki) dengan catatan masa 2 jam 49 minit 22 saat!

“Terima kasih sekali lagi kepada @bulanbintanghq @meripergibulat atas kepercayaan, peluang dan menerima idea "luar kotak" saya untuk projek ini. Anda berani mencipta penanda aras baharu apa yang boleh dan buat yang mustahil.

“Terima kasih pengurus saya @jolenehong atas kepercayaan anda dan semua pengaturan dengan GWR dan pasukan @bulanbintanghq. Kami telah melakukan yang terbaik untuk menjadikan baju melayu kembali hebat pada 2023 TCS @londonmarathon pada Hari Raya Aidilfitri! Terima kasih semua atas doa dan sokongan anda. Seterusnya?,” tulisnya dalam ruang Facebook miliknya.

Mohd Syahidan yang ditaja oleh syarikat pakaian Bulan Bintang itu berkongsi bahawa suasana latihannya untuk rekod berkenaan adalah berbeza dengan maraton sebelum ini kerana ia banyak dilakukan ketika Ramadan, selain perlu mengenakan baju Melayu.

Malah, lelaki berusia 36 tahun itu juga dengan rela hati berkorban cuti rayanya demi merealisasikan peristiwa penting, selain perlu beraya diperantauan dan berjauh dari keluarga tersayang.

“Enam bulan merancang untuk projek. Berlatih sambil menyambung pengajian sepenuh masa saya di @msumalaysia dan bekerja di @sacrun.coach di tambah pula di bulan Ramadan bukanlah mudah,” kongsinya sebelum terbang ke kota London.

Untuk rekod, sebelum ini Mohd Syahidan berjaya mencipta rekod dunia baharu bagi larian maraton terpantas dalam kategori kostum bendera negara dengan masa 2 jam, 54 minit di Sydney Marathon pada 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram