SEPANJANG berada di bawah kendalian Datuk Lim Teong Kim, Perak FC mengalami satu musim yang berbolak-balik dalam kempen Liga Super.
Pengendali kelahiran Melaka itu mengambil keputusan untuk menerapkan falsafahnya dalam pasukan dengan membawa masuk beberapa pemain muda.
Antara yang diperkenalkan dalam skuad The Bos Gaurus (TBG) ialah bekas pemain muda Johor Darul Takzim (JDT), Hadi Fayyadh Abd Razak serta penyerang muda kelahiran Korea Selatan, Seo Seon-ung.
Selain itu, pihak pengurusan Perak FC turut mengekalkan khidmat tonggak musim lalu, termasuk Wan Zack Haikal Wan Noor dan Sunday Afolabi.
Sentuhan Teong Kim sepertinya masih belum membuahkan hasil. — Facebook/Perak FC
Bagaimanapun, usaha tidak putus itu sepertinya masih belum memberikan sebarang hasil memandangkan mereka berada di kedudukan ke-11 selepas sembilan perlawanan.
Penyingkiran awal daripada saingan Piala FA 2023 di tangan Sri Pahang FC turut memburukkan lagi keadaan dengan kelab itu perlu mencari solusi terbaik.
Jadi, menjelang jendela perpindahan kedua yang dijangka berlangsung pada Julai, pihak pengurusan kelab memiliki ruang terbaik bagi meningkatkan kualiti skuad sedia ada.
Meskipun Teong Kim masih tidak mahu melupakan falsafah bola sepaknya, penyokong sepertinya berpendapat sebaliknya demi kelangsungan pasukan.
Bagi sesetengah daripada mereka, suntikan pengalaman daripada pemain senior cukup diperlukan memandangkan skuad TBG masih belum memiliki identiti tersendiri.
Lebih menarik lagi, terdapat juga beberapa pandangan dilontarkan mengatakan kelab Utara tanah air itu perlu mendapatkan khidmat bekas pemain yang cukup mengenali Perak FC.
Jadi, melihat kepada kesemua 13 pasukan Liga Super, terdapat tiga calon terbaik yang perlu diketengahkan mereka pada tempoh perpindahan akan datang.
1. Shahrul Saad (JDT)
Sejak Disember 2022, sebahagian besar penyokong tidak henti-henti mendesak pihak pengurusan untuk mendapatkan bekas kapten Perak FC, Shahrul Saad.
Dia yang ketika ini berada bersama JDT masih mampu beraksi di tahap terbaik memandangkan usianya baru sahaja mencecah 29 tahun.
Bagaimanapun, dengan dia merupakan antara watak utama Harimau Selatan pada 2022, mereka akhirnya terpaksa akur dengan kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai persetujuan.
Tetapi, situasi itu sedikit berbeza kali ini selepas pemain kelahiran Perak berkenaan lebih kerap disisihkan daripada kesebelasan utama.
Shahrul pernah bergelar kapten Perak FC untuk beberapa musim.
Hal itu berpunca daripada kehadiran bintang muda, Feroz Baharudin yang beraksi dengan cukup konsisten setiap kali diturunkan.
Jadi, dengan skuad TBG juga masih perlu membaiki benteng pertahanan mereka, Shahrul Saad perlu diberikan perhatian berdasarkan kebolehannya ketika ini.
Selain itu, pengalamannya selama lima tahun bersama Perak FC juga menjadi satu tarikan, lebih-lebih lagi dengan dia membina kariernya di kelab Utara tanah air berkenaan.
2. Farhan Roslan (Sabah FC)
Meskipun hanya berketinggian 1.54 meter, Farhan Roslan masih dikenali sebagai salah seorang penyerang sayap yang mampu mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan.
Ia dapat disaksikan musim lalu ketika dia bersama Sabah FC dengan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee cukup menghargai sumbangannya.
Satu gol dan satu bantuan jaringan dalam 11 penampilan Liga Super sedikit sebanyak membantu skuad Sang Badak layak ke pentas Asia setelah berapa tahun lamanya.
Bagaimanapun, dengan kehadiran bintang-bintang baharu, pemain berusia 26 tahun itu gagal menempatkan dirinya dalam pasukan walaupun sebagai pemain tempatan.
Farhan (kiri) ketika dipinjamkan ke Perak FC untuk tempoh semusim. — MFL
Jadi, dengan dia masih mempunyai tempoh yang panjang dalam kariernya, dia pasti tertarik untuk mencari angin baharu bersama mana-mana pasukan Liga Malaysia.
Meskipun terdapat cadangan untuknya kembali ke Kedah Darul Aman (KDA) FC, lambakan pemain sayap di kelab itu pasti tidak akan mengubah nasibnya.
Perak FC sepertinya merupakan satu destinasi terbaik memandangkan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut pernah beraksi bersama skuad TBG selama semusim.
Tetapi, dengan Sabah FC bakal beraksi dalam Piala AFC, adakah Kim Swee akan melepaskannya yang mana sekali gus akan mengurangkan kualiti skuad.
3. Nor Hakim Hassan (Selangor FC)
Kehadiran Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Selangor FC pada awalnya memberi nafas baharu buat pemain sayap pasukan Lembah Klang itu, Nor Hakim Hassan.
Selain lebih kerap diturunkan, penyerang tersebut berjaya menemui rentak terbaiknya dengan mudah mencipta umpanan sesuai dengan taktikal mereka.
Prestasi membanggakan itu juga membolehkannya beraksi bersama skuad kebangsaan ketika kempen Piala AFF yang mana dia juga memainkan peranan penting.
Bagaimanapun, Nor Hakim berdepan nasib yang sama seperti Farhan dan Shahrul apabila kehadiran bintang baharu menyebabkannya kehilangan tempat dalam pasukan.
Nor Hakim pernah bergelar salah seorang tonggak skuad TBG sebelum ini. — Facebook/Perak TBG
Kehadiran bintang kebangsaan, Faisal Halim merupakan faktor utama yang menyebabkan pemain berusia 31 tahun itu hanya mengumpul dua penampilan dari bangku simpanan musim ini.
Oleh itu, bagi memastikan sentuhannya tidak berkarat, Nor Hakim pasti akan mencuba untuk menghidupkan semula kariernya bersama mana-mana pasukan.
Melihat kepada pengalamannya, Perak FC merupakan pilihan terbaik selepas dia mengecapi satu tempoh yang cukup bermakna bersama pasukan Utara tanah air itu.
Namun, dengan usianya yang semakin lanjut berbanding dua pemain di atas, adakah Teong Kim serta pihak pengurusan TBG akan mengambil risiko itu? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram