SEBANYAK 31 gol yang dilepaskan daripada sembilan aksi Liga Super musim ini meletakkan Kelantan FC di kedudukan kedua tercorot.
Kegoyahan di benteng pertahanan menjadi salah satu punca pasukan Pantai Timur itu terus bergelut untuk mendapatkan rentak sehingga mereka hanya mengumpul empat mata setakat ini.
Susulan rekod tidak cemerlang itu, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menamatkan khidmat pengendali, Choi Moon-sik, yang mana mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.
Bagaimanapun, dengan mereka masih terus dirundung masalah dalaman, pemain pula berdepan nasib yang sama selepas khidmat Carli de Murga dan Christian Rontini ditamatkan serta merta.
Penyokong sepertinya tidak terlalu terkesan dengan kehilangan Rontini apabila pemain itu gagal memberikan impak sebenar sejak tiba dari Penang FC.
Namun, kisah sebaliknya dirasakan buat de Murga yang pada awalnya hadir dengan reputasi cukup baik selepas bermain selama setahun bersama Johor Darul Takzim (JDT).
Meskipun tidak boleh dikatakan sebagai tonggak pertahanan pasukan, pengalamannya beraksi di Liga Malaysia pasti menjadi satu tarikan buat pemain kebangsaan Filipina itu.
Tetapi, dengan persembahan kurang meyakinkan, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk melepaskannya bagi membuka kuota import menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super Julai nanti.
Persoalan pastinya muncul buat penyokong skuad TRW untuk mencari pengganti de Murga dengan harapan kehadiran pemain baharu itu dapat membaiki prestasi pasukan.
Bagi menjawab tanda tanya itu, Majoriti menyenaraikan tiga bek tengah yang dilihat sesuai dengan kemampuan kelab serta taktikal ketua jurulatih, Frank Bernhardt.
1. Shahrul Saad (JDT)
Pemilik kelab, Norizam Tukiman dilihat sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk sekurang-kurangnya menambah baik prestasi pasukan yang dikelilingi isu dalaman itu.
Antara langkah yang dibuat adalah dengan menemui pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim untuk membincangkan masa depan pasukan.
Berikutan pertemuan itu, khabar angin mula bertiup dengan mengatakan dua pemain Harimau Selatan, Mohamadou Sumareh dan Ramadhan Saifullah.
Ia dilihat bersesuaian bagi menyelesaikan masalah jentera serangan pasukan yang hanya menjaringkan 10 gol selepas sembilan perlawanan.
Namun, dengan isu pertahanan lebih meruncing, Norizam perlu bertindak lebih agresif dengan cuba untuk mendapatkan seorang bek tengah berkualiti.
Shahrul Saad lebih kerap diletakkan di bangku simpanan musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Pemain kebangsaan, Shahrul Saad dilihat sebagai calon terbaik memandangkan dia sudah kehilangan tempat dalam pasukan kepada Feroz Baharudin.
Musim ini, bekas kapten Perak FC itu lebih kerap diturunkan sebagai pemain gantian yang mana pasti memberi impak terhadap kemampuannya untuk jangka masa panjang.
Jadi, dengan Kelantan FC juga perlu untuk mengukuhkan lagi benteng mereka, Shahrul merupakan inisiatif terbaik melihat kepada pengalamannya dalam Liga Super.
Tetapi, memandangkan JDT bakal bertanding dalam saingan Liga Juara-juara AFC (ACL), adakah pihak pengurusan akan membenarkannya pergi yang mana akan mengganggu kestabilan pasukan.
2. Muslim Ahmad (Sri Pahang FC)
Rekod pertahanan Sri Pahang FC sememangnya tidak boleh disangkal dengan ketua jurulatih, Fandi Ahmad berjaya memastikan pihak lawan terus buntu setiap kali berdepan benteng pertahanan Tok Gajah.
Selepas enam perlawanan, mereka hanya dibolosi sebanyak enam kali yang mana merupakan satu pencapaian cemerlang memandangkan pasukan itu sudah berdepan Sabah FC dan Selangor FC.
Antara pemain yang menjadi watak penting dalam sistem itu adalah dua bek tengah, Fadhli Shas dan Michael Glassock selepas kedua-dua mereka hadir ketika jendela perpindahan yang lalu.
Ketibaan mereka menyaksikan bekas kapten pasukan, Muslim Ahmad terus diletakkan di bangku simpanan dengan dia masih belum mencatatkan sebarang penampilan musim ini.
Muslim (kanan) juga pernah beraksi bersama Kelantan FC untuk semusim.
Perkara itu sedikit sebanyak memberi kelegaan buat penyokong Tok Gajah memandangkan pemain berusia 33 tahun itu kerap melakukan kesilapan setiap kali beraksi.
Jadi, sekiranya Muslim mahu mendapatkan peluang dengan lebih kerap, Kelantan FC dilihat sebagai solusi terbaik dengan mereka juga sedang mencari seorang pertahanan berkualiti.
Di samping cukup berpengalaman, ketinggiannya yang mencecah 1.82 meter itu pasti menjadi satu kelebihan buat Bernhardt yang mahu memperkukuhkan lagi benteng skuad TRW.
Namun, dengan Muslim cukup terkenal dengan kesilapan mudah, adakah Norizam akan melakukan pelaburan terburu-buru sehingga merugikan pasukan buat kali kedua?
3. Raja Imran Shah Raja Amin (Perak FC)
Keyakinan Datuk Lim Teong Kim untuk menaruh kepercayaan terhadap pemain muda sedikit sebanyak memberi kesan buruk apabila Perak FC berada di kedudukan ke-11 Liga Super.
Bagaimanapun, salah satu aspek yang boleh diberi pujian adalah kebolehan anak-anak buahnya yang semakin menyerlah, lebih-lebih lagi di benteng pertahanan.
Bekas pemain Sarawak United, Raja Imran Shah Raja Amin boleh dikatakan sebagai watak utama mereka selepas hadir dengan reputasi cukup baik.
Usianya yang baru sahaja mencecah 24 tahun membuktikan dia mempunyai banyak ruang untuk bertambah baik, terutamanya kebolehannya untuk membaca gerakan pihak lawan.
Raja Imran muncul sebagai antara pemain terbaik Perak FC musim ini. — Facebook/Perak FC
Tetapi, melihat kepada ketinggian serta struktur fizikalnya, ia dilihat sebagai satu kelebihan buat mana-mana pasukan Liga Super yang sedang bergelut di posisi pertahanan.
Jadi, dengan Kelantan FC perlu mencari solusi awal, mereka boleh membawa masuk Raja Imran Shah untuk digandingkan dengan Yusri Yuhasmadi.
Namun, adakah pemain kelahiran Kuala Lumpur itu akan tertarik untuk ke Pantai Timur memandangkan dia sedang menerima tunjuk ajar daripada Teong Kim yang cukup terkenal dalam mengembangkan bakat pemain.
Selain itu, dengan Kelantan FC juga dikhabarkan berdepan isu tunggakan gaji, mampukah mereka mendapatkan khidmat Raja Imran yang cukup kental sebagai bek tengah itu? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram