SEBANYAK 10 gol yang diperolehi setakat sembilan aksi Liga Super pastinya bukanlah satu pulangan yang terlalu mengecewakan buat pasukan bergelut, Kelantan FC.
Ia memandangkan mereka muncul sebagai satu-satunya kelab yang berjaya membolosi benteng kebal Johor Darul Takzim (JDT) dengan perlawanan berakhir 1-5 di tempat lawan pada 11 Mac lalu.
Dalam saingan Piala FA pula, tiga gol yang diperolehi ketika menang ke atas Manjung City FC mempamerkan ketajaman mereka walaupun sedikit bergelut di benteng pertahanan.
Meskipun kredit perlu diberikan kepada keseluruhan skuad, pujian harus diberikan kepada penyerang terbaik yang dimiliki ketika ini, Ismahel Akinade.
Pemain yang pernah beraksi bersama beberapa kelab di Eropah dan Asia Tenggara berkenaan menyertai The Red Warriors (TRW) pada penghujung jendela perpindahan lalu.
Ketinggiannya yang mencecah 1.9 meter (m) dan fizikalnya yang sasa itu sememangnya satu kelebihan dalam Liga Super untuk menepis segala asakan daripada benteng pertahanan lawan.
Tiga gol dijaringkan Ismahel membantu skuad TRW meraih mata penting dalam Liga Super. — Facebook/TRW Kelantan FC
Kelebihan itu sepertinya berjaya dimanfaatkan Ismahel apabila dia berjaya menjaringkan tiga gol selain mencipta enam bantuan jaringan dalam enam penampilan Liga Super.
Walaupun statistik berkenaan masih belum berjaya memacu Kelantan FC ke tahap lebih baik, penyokong pastinya mampu tersenyum acap kali dia diturunkan.
Bukan itu sahaja, latar belakangnya memaparkan bahawa dia merupakan seorang pemain Muslim apabila dia muncul dalam satu video ringkas ketika orang ramai menyambut Ramadan Mac lalu.
Hal tersebut sememangnya mendekatkan pemain berusia 29 tahun terbabit memandangkan majoriti daripada rakyat Kelantan merupakan pemeluk agama Islam.
Jadi, pasti ramai yang tertarik akan sambutan Aidilfitri buat Ismahel yang terpaksa berjauhan dengan keluarganya di Nigeria.
"Ia merupakan satu perkara yang baik buat saya kerana ramai daripada penduduk Malaysia ialah Muslim, terutamanya mereka yang berada di Kelantan.
"Bagi saya, dengan semua pemain dan orang ramai yang juga berpuasa ketika Ramadan, menunaikan ibadah solat serta mudah untuk saya mendengar laungan azan," katanya kepada Majoriti.
Ismahel muncul dalam video sambutan Ramadan Kelantan FC Mac lalu. — Facebook/TRW Kelantan FC
Tambahnya, elemen tersebut cukup penting untuk memudahkannya menyesuaikan diri selepas menyertai Kelantan FC dari kelab Bangladesh, Sheikh Russel KC.
Selain pernah menyambut bulan Ramadan dan musim perayaan di beberapa negara Asia, Ismahel turut berpengalaman meraikan tarikh bermakna itu di Republik Ireland ketika dia memulakan kariernya dalam dunia bola sepak.
Dalam masa sama, pemain berkenaan turut berharap agar skuad TRW tidak menunggu terlalu lama untuk kembali ke landasan dengan menepis segala isu di luar padang.
"Saya harap kami mampu membaiki segala perkara dengan mendengar arahan daripada jurulatih dengan mengadakan sesi latihan," katanya.
Ketika ini, Kelantan FC berada di tangga kedua tercorot Liga Super dengan hanya empat mata dikumpul hasil satu kemenangan serta satu keputusan seri.
Mereka bakal kembali ke saingan Liga Super pada 28 April apabila bakal menerima kunjungan sebuah lagi kelab bergelut, Perak FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram