PERTEMUAN Liga Super antara Kelantan FC dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Jumaat merupakan medan terbaik buat kedua-dua pasukan untuk membaiki kedudukan masing-masing.
Memasuki minggu ke-10, kedua-dua mereka terpaksa berpuas hati dengan satu kemenangan sulung meskipun sudah melakukan rombakan sepanjang jendela perpindahan yang lalu.
Perak FC yang hanya mengumpul enam mata pasti masih tidak mahu menarik nafas lega memandangkan prestasi semasa mereka tidak meyakinkan.
Keputusan seri ketika bertemu Negeri Sembilan FC 19 April lalu sememangnya sukar diterima rata-rata penyokong selepas mereka mendahului untuk kira-kira 70 minit permainan.
Tekanan lebih besar pula pasti dirasakan penyokong skuad The Red Warriors (TRW) yang terus dirudum masalah di dalam dan luar padang.
Kehilangan ketua jurulatih, Choi Moon-sik sememangnya menjadi satu titik perubahan buat kelab Pantai Timur itu yang terpaksa mencari rentak terbaik mereka.
Selain itu, rekod pertahanan yang cukup merisaukan juga menjadi penghalang buat mereka mengumpul sekurang-kurangnya satu mata setiap kali beraksi.
Jadi, perlawanan di laman sendiri itu pasti diharapkan mampu mengubah nasib pasukan dengan satu mata diharapkan mampu dibawa pulang pasukan Pantai Timur itu.
Namun, bagi peminat setia Kelantan FC, isu gangguan sekumpulan penyokong di stadium menjadi antara agenda utama yang hangat diperkatakan di media sosial.
Tangkap layar menunjukkan kekecohan yang berlaku antara 'casual' Perak FC dan penyokong Kelantan FC.
Ia berikutan insiden yang pernah berlaku di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan musim lalu ketika pertembungan Liga Perdana antara kedua-dua pasukan.
Selain berlaku kekecohan sepanjang perlawanan berlangsung, penyokong yang dikatakan tergolong dalam kumpulan 'casual' memasuki padang di samping tercetusnya situasi balingan objek.
Provokasi tersebut sememangnya satu insiden gelap buat kedua-dua pengikut setia pasukan yang pastinya gusar untuk turun memberi sorakan kepada pemain di atas padang.
"Lawan Perak nanti, mohon pihak berkuasa stadium untuk tidak membenarkan stadium pihak lawan yang mungkin dari golongan casual. Mereka ini seperti biasa, akan melakukan kekacauan," kata Mohd Sufian Zahari.
"Harapnya kejadian seperti musim lalu tidak berulanglah, risau juga saya nak pergi stadium untuk saksikan perlawanan ini," kata Halim Kasim.
Dalam pertembungan pada Ogos 2022 itu, skuad The Bos Gaurus (TBG) mengumpul tiga mata yang mana menyekat hasrat Kelantan FC untuk bergelar juara Liga Perdana musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram