Vidic akui pernah hampir sertai musuh tradisi Man United


  • Podium
  • Selasa, 25 Apr 2023

Vidic pernah menjulang pelbagai kejuaraan sepanjang sembilan musim bersama Manchester United. — Agensi

BEKAS pemain pertahanan Manchester United, Nemanja Vidic boleh dianggap sebagai legenda kelab selepas memenangi pelbagai kejuaraan.

Ia termasuk satu pingat Liga Juara-juara UEFA (UCL) pada 2008 serta lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selama sembilan musim di kelab England tersebut.

Bagaimanapun, dalam satu sesi wawancara baru-baru ini, bekas pemain antarabangsa Serbia itu mengakui dia hampir menyertai Liverpool yang merupakan seteru terkenal Manchester United.

Pengurus The Reds ketika itu, Rafael Benitez difahamkan cuba menghubungi Vidic yang sedang terikat bersama kelab Rusia, Spartak Moscow.

Namun, perpindahan itu gagal selepas kedua-dua pihak tidak berhubung kira-kira dalam tempoh dua minggu, sekali gus mengesahkan nasibnya dalam karier bola sepak.

"Kali pertama saya menghubungi Manchester United adalah pada Disember 2005, tetapi Liverpool juga terlibat sepanjang proses berkenaan.

"Saya pernah bersembang dengan Benitez dengan dia merupakan individu pertama yang saya hubungi ketika saya berada di Spartak Moscow," katanya.

WhatsApp Image 2023-04-25 at 17.58.07

Vidic (kanan) mengakui Ferguson memainkan peranan penting dalam kariernya. Agensi

Bagaimanapun, dengan tiada maklum balas daripada pihak pengurusan Liverpool, perpindahan tersebut gagal dimeterai selepas pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson mengambil langkah berikutnya.

"Dia (Ferguson) menelefon saya dan mengatakan dia sudah merisik saya untuk kira-kira enam bulan hingga setahun. Dia mengatakan Manchester United cukup tertarik dengan kebolehannya di atas padang.

"Saya menjawab mudah dengan mengakui teruja untuk menyertai The Red Devils dan kira-kira selepas seminggu, saya sudah berada di Manchester," katanya.

Di samping mengecapi pelbagai kejuaraan, Vidic juga pernah dilantik sebagai kapten kelab dengan kelantangan serta karismanya ketika berada di atas padang.

Selepas sembilan musim di Stadium Old Trafford, pemain yang kini berusia 41 tahun itu akhirnya memilih untuk meninggalkan EPL dan menyertai kelab Itali, Inter Milan.

Namun, selepas dihurung beberapa siri kecederaan, pemain bertubuh sasa itu menamatkan kariernya pada 2016 dengan namanya terus dikenang dalam kalangan penyokong The Red Devils. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram