BERADA pada kedudukan kelima dalam saingan Liga Super 2023 bukanlah suatu perkara yang boleh dibanggakan penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC terutamanya selepas statistik membuktikan tahap pasukan tersebut.
Mana tidaknya, selepas sembilan perlawanan Liga Super, skuad Hijau Kuning yang berpangkalan di utara tanah air itu sudah dibolosi sebanyak 14 kali dan sudah tentu bagi kelab yang pernah merangkul gelaran double trouble pada suatu ketika dahulu, ia adalah pencapaian kurang memuaskan.
Sejak ketibaan jurulatih baharu, Nafuzi Zain, ramai penyokong meletakkan harapan setinggi gunung kepada pengendali muda itu dan rata-ratanya berharap pasukan kesayangan mereka dapat kembali menjadi pencabar terdekat kepada juara bertahan liga, Johor Darul Takzim (JDT).
Suka atau tidak, harapan penyokong semakin pudar terhadap pengendali dari Kelantan itu terutamanya dengan rekod bolos tersebut dan ia adalah yang paling teruk berbanding lima pasukan teratas.
Oleh itu, dengan jendela perpindahan hanya akan dibuka pada Julai akan datang, pihak pengurusan pastinya akan mencari penyelesaian terbaik untuk mencari pemain pertahanan baharu dengan rekod camerlang.
Tanpa sedar seperti bulan jatuh ke riba, itulah peribahasa yang sesuai digambarkan untuk pasukan Sang Kenari selepas seorang pertahanan kental bertaraf bintang tiba-tiba menunjukkan minat untuk menyertai KDA FC.
Tangkap layar Insta Story Rochela.
Pemain tersebut ialah bekas tonggak kelab Liga 1 Thailand, Port FC, David Rochela mengumumkan pada Sabtu yang dia akan meninggalkan kelab itu selepas menabur bakti selama lapan tahun di skuad Khlong Toei Lions itu.
Dalam satu perkongsian di laman Insta Story milik pemain berusia 33 tahun itu, Rochela memuat naik semula hantaran dari laman penyokong yang mengajaknya ke Darul Aman.
Hantaran semulanya itu seolah-olah menunjukkan minat terhadap skuad bimbingan Nafuzi dan ingin mengubah angin baharu dengan beraksi di Liga Malaysia (Liga M).
Rochela bukan nama asing dalam Liga Thailand berikutan pemain dari Sepanyol itu sudah mula menjejak di bumi Thailand pada 2014 dan selain Port FC, Buriram United juga pernah menggunakan khidmat bek tengah terbabit.
Tanda harga Rochela mencecah RM1.39 juta tidaklah semahal seperti Willian Lira yang bernilai RM2.1 juta dan berkemungkinan Kedah berkemampuan untuk membawanya masuk pada jendela perpindahan kedua nanti.
Bukan sahaja berpengalaman dalam landskap bola sepak Asia Tenggara, Rochela diam-diam juga pernah menjadi rakan pasukan penjaga gol berpengalaman Manchester United, David De Gea.
Rochela menyarung jersi nombor tiga bersama De Gea sebagai penjaga gol untuk pasukan Bawah-17 Sepanyol. — Instagram/Rochela
Pemain yang memulakan kerjayanya di Deportivo La Coruna itu pernah bermain bersama De Gea ketika mewakili Sepanyol pada Piala Dunia B-17 yang menyaksikan pasukan mereka dinobatkan naib juara kejohanan berkenaan.
Dengan kejayaannya di peringkat antarabangsa, Rochela juga memiliki piala Thai League Cup bersama Buriram United pada 2014 dan Thai FA Cup (2014) dengan Port FC.
Rekod positif bersama pasukan lamanya itu sudah cukup membuktikan bahawa Rochela adalah pemain yang dicari Kedah untuk menghapuskan badi piala mereka sejak kali terakhirnya memenangi ketika Piala Sumbangsih pada 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram