PERTEMBUNGAN antara dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan Manchester City pada Khamis sememangnya akan menarik perhatian penyokong bola sepak seluruh dunia.
Lima mata yang membezakan kedua-dua pasukan pasti memainkan peranan penting memandangkan skuad The Gunners sudah beraksi dengan lebih dua perlawanan.
Bagaimanapun, Arsenal yang sedang dalam usaha menamatkan penantian 19 tahun untuk menjuarai pertandingan itu sepertinya menerima berita buruk menjelang aksi berkenaan.
Pemain pertahanan berusia 22 tahun, William Saliba difahamkan mengalami kecederaan belakang yang dialami sejak kira-kira enam minggu lalu.
Dia yang tidak diturunkan dalam lima aksi EPL menyebabkan benteng pertahanan pasukan London itu semakin goyah apabila mereka gagal mencatatkan sebarang 'clean sheet' sepanjang ketiadaannya.
Ketiadaan Saliba cukup merisaukan buat benteng pertahanan The Gunners. — Agensi
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengumumkan bahawa proses penyembuhan sedang berjalan lancar, namun pihaknya tidak mahu mengambil risiko untuk menurunkan pemain antarabangsa Perancis terbabit.
Ia turut diterukkan lagi dengan laporan media antarabangsa yang menganggap Saliba terpaksa melupakan baki musim 2022/23 berikutan kecederaan yang dialaminya itu.
Sejak ketiadaan bek tengah itu, Arteta terpaksa menurunkan Rob Holding untuk digandingkan bersama Gabriel Magalhaes yang mana menyebabkan pertahanan pasukan semakin mudah dibolosi.
Arsenal terpaksa berkunjung ke Stadium Etihad, Manchester tanpa beberapa lagi tonggak, termasuk Mohamed Elneny dan Takehiro Tomiyasu yang turut bergelut dengan masalah kecederaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram