GELOMBANG naturalisasi negara dilihat semakin rancak dengan laporan mengatakan sekurang-kurangnya terdapat tiga pemain yang sedang menjalani proses tersebut.
Pertahanan tengah Terengganu FC, Argzim Redzovic yang dikatakan sebagai salah seorang daripada mereka mengakui pernah berbincang bersama Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman.
"Saya ada bertemu dengannya dan dia berkata, permohonan sedang dalam proses. Saya harap saya dapat peroleh status naturalisasi sebelum jendela perpindahan kedua, tetapi ia semua bergantung kepada Kementerian Dalam Negeri," katanya.
Pemain kelahiran Montenegro itu sudah berada dalam Liga Malaysia sejak 2018 apabila menyertai PDRM FC sebelum berhijrah untuk menyertai skuad Sang Penyu pada tahun berikutnya.
Tambah Argzim, penyerang Negeri Sembilan FC, Casagrande dan pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, Romel Morales juga sudah melakukan permohonan.
"Saya tahu Casagrande dan Morales sedang dalam proses. Kita hanya boleh tunggu dan lihat sahaja. Tetapi, saya harap ia akan selesai sebelum jendela perpindahan kedua," katanya lagi.
Baru-baru ini, perancang tengah Johor Darul Takzim (JDT), Endrick dos Santos serta kapten KL City FC, Paulo Josue turut menerima status berkenaan yang membolehkan mereka beraksi dalam skuad kebangsaan Mac lalu.
Dua pemain itu menyaksikan jumlah pemain naturalisasi negara semakin bertambah, termasuk pemain sayap JDT, Mohamadou Sumareh, rekrut baharu Terengganu FC, Liridon Krasniqi serta pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Lee Tuck.
Selain itu, penyerang Melaka FC, Guilherme de Puala dan perancang Sri Pahang FC, Sergio Aguero turut berada dalam senarai tersebut.
Musim ini, Argzim sudah beraksi bersama skuad senior Sang Penyu sebanyak tiga kali berikutan kecederaan yang dialami bek tengah mereka, Sardor Kulmatov.
"Dengan lebih banyak perlawanan lagi, Insya-ALLAH, ia akan memudahkan proses untuk saya menerima status naturalisasi. Ya, saya juga bertambah baik kerana turun dengan lebih kerap," katanya.
Terengganu FC ketika ini berada di kedudukan keenam Liga Super selepas sembilan perlawanan dengan mereka bakal bertemu Sri Pahang FC di laman sendiri pada Jumaat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram