'Main macam tiada coach,' fans Tok Gajah desak idea kreatif Fandi Ahmad jika enggan berundur kerusi panas


  • Podium
  • Selasa, 25 Apr 2023

Sri Pahang masih mengekalkan rekod kebal tanpa kalah meskipun mempamerkan aksi hambar dalam beberapa perlawanan penting sebelum ini. — Facebook/Sri Pahang FC

BERBAKI sehari sahaja lagi sebelum pasukan Sri Pahang FC bakal berkunjung ke Terengganu FC (TFC) untuk bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu dalam Liga Super 2023 pada Rabu.

Debaran skuad Tok Gajah menentang skuad Penyu itu membuat mereka terus kembali memulakan latihan hari raya ketiga Aidilfitri pada Isnin.

Malah, kedudukan Sri Pahang di tangga ketiga dalam liga juga tampak selesa dengan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang sembilan perlawanan dalam kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, ada beberapa aksi kurang enak khususnya taktikal pasukan yang mendapat perhatian peminat-peminat Tok Gajah.

Malah, ketua jurulatih Sri Pahang FC sendiri, Fandi Ahmad turut mengakui perkara tersebut ketika perlawanan menentang Kelantan United pada 10 April lalu di laman sendiri.

Beliau berkata, keletihan sehingga menyebabkan para pemainnya kurang motivasi, selain bersifat terlalu yakin apabila berhadapan pasukan di tangga tercorot antara punca aksi skuad bimbingannya kurang menyengat di padang.

343312115_198701602920029_8667727610448031880_n

Pemain-pemain Sri Pahang FC ketika sesi latihan pada Isnin. — Facebook/Sri Pahang FC.

Tidak cukup dengan itu, skuad Tok Gajah juga hanya menang tipis 1-0 menentang Kuching FC pada Rabu minggu lepas di di Stadium Negeri Sarawak, Kuching, Sarawak.

Oleh itu, kedengaran suara-suara sumbang daripada peminat pasukan Sri Pahang FC sendiri yang mendesak Fandi untuk tampil dengan strategi baharu bagi menentang TFC pada Rabu ini.

"Masalah paling besar adalah taktikal sangat tumpul. Berlatih apa itu," kata pemerhati bola sepak, Din Patin.

Selain itu, jika Fandi gagal melatih anak-anak buahnya pada saat yang genting ini, ada juga peminat yang mendesaknya supaya berundur daripada membimbing skuad berkenaan.

Bukan apa, kata mereka, persembahan yang diberikan seolah-olah tidak sehebat ketika sesi latihan dijalankan.

"Training beria, lepas itu bila game, main macam tak training juga," kata Syam Along.

"Kalau tak raya pun main macam tiada coach pun," sindir Penunggu Gua.

Jika prestasi yang ditunjukkan masih oleh skuad Tok Gajah kekal hambar, tidak hairanlah jika pasukan keciciran mata penting semasa berdepan TFC nanti.

Justeru, Sri Pahang FC perlu bangkit daripada mood Aidilfitri dan fokus kepada permainan pada Rabu bagi mengekalkan rekod tanpa kalah mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram