PENYERANG Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri berada di kelasnya sendiri apabila menunjukkan sebab dia antara pemain import terbaik dalam Liga Super.
Pemain berusia 33 tahun itu bukan sahaja penjaring terbanyak liga ketika ini dengan lapan gol, tetapi Forestieri adalah pemain serba boleh kerana telah memberikan lima bantuan juga.
Lebih mengagumkan import dari Argentina itu hanya melakukan semua ini dalam sembilan perlawanan.
Menurut statistik Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), bekas pemain Watford dan Udinese itu melakukan 34 rembatan, yang mana 19 daripadanya tepat ke sasaran.
Dalam perlumbaannya untuk mendapatkan Kasut Emas, Forestieri hanya mendahului satu gol di hadapan penyerang Selangor, Ayron Del Valle.
Bermain di Malaysia buat kali pertama, pemain Colombia berusia 33 tahun itu telah menjaringkan tujuh gol dalam sembilan perlawanan dan 13 daripada 17 rembatannya menepati sasaran.
Forestieri berkata, rakan-rakannya telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sejak awal musim.
“Rasanya bagus untuk menyumbang untuk pasukan. Sistem yang kami buat membolehkan kami menjaringkan banyak gol,” katanya.
Sementara itu, Del Valle pula berpendapat jaringan yang diperolehinya itu disebabkan persefahaman antara pemain Selangor dengannya.
Ayron semakin menunjukkan taringnya bersama Selangor FC. — Instagram/Ayron
“Terima kasih kepada rakan sepasukan kerana kami dapat bekerja dengan baik antara satu sama lain. Saya telah menyesuaikan diri dengan baik dan mereka mempunyai pemahaman yang jelas tentang gaya saya di atas padang.
“Kelab juga mempercayai saya dan saya akan terus bekerja keras dalam semua aspek untuk mencapai kejayaan bagi Selangor. Kami berada di puncak liga, dan kami mahu meneruskannya,” tambahnya.
Sementara itu, ketiga dalam senarai penjaring terbanyak ialah tiga pemain iaitu Arif Aiman Hanapi (sembilan perlawanan), Park Tae-su (tujuh) dan Stefano Brundo (sembilan), mereka berkongsi tempat dengan lima gol setiap satu.
Pemain sayap JDT Arif adalah satu-satunya pemain tempatan yang berada di kedudukan tiga teratas.
Semua gol pemain tengah Sabah Tae-su datang daripada set-piece dan cubaan jarak jauh, selain tujuh daripada 14 rembatannya menepati sasaran.
Bagi pemain pertahanan tengah Pahang Brundo dari Argentina, lapan daripada 18 rembatannyanya menepati sasaran.
Antara pemain yang cuba mengikuti rapat ialah penyerang, Kpah Sherman (Pahang); Jordan Mintah (Terengganu); Soony Saad (Penang), dan Diogo Santo (JDT).
Kesemua pemain tersebut merekodkan empat gol setakat ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram