Lupakan Bergson sebab bintang Selangor, JDT dan Pahang jadi calon import terbaik 2023


  • Podium
  • Isnin, 24 Apr 2023

Mampukah Bergson kembali ke tahap terbaik selepas mengalami kecederaan awal musim lalu? — Facebook/JOHOR Southern Tigers

DUA Kasut Emas Liga Super yang dimenangi secara berturut-turut menyaksikan penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva diangkat sebagai salah seorang import terbaik dalam kancah Liga Malaysia.

Musim lepas, pemain berusia 32 tahun itu memecahkan rekod jaringan dalam tempoh semusim selepas meledak 29 gol dalam 19 penampilan liga.

Bukan itu sahaja, kebolehannya untuk berada dalam tekanan juga wajar diberi perhatian apabila bisanya di hadapan pintu gol juga terserlah ketika beraksi di pentas Liga Juara-juara AFC (ACL).

Jadi, tidak hairanlah pasukan Selatan tanah air itu muncul sebagai pasukan terbaik pada 2022 dengan merangkul kesemua kejohanan domestik yang dipertandingkan.

Bakatnya secara individu juga terus diiktiraf apabila menerima anugerah pemain import terbaik ketika Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK 2022).

Namun, musim ini, nasib pemain berketinggian 1.81 meter itu sepertinya berubah selepas lebih kerap disisihkan bagi permulaan saingan Liga Super.

Kecederaan yang dialami ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi di tempat lawan menyebabkan Bergson lebih kerap diletakkan di bangku simpanan.

Tambahan pula, gosip perpindahan pada awal musim lalu mengatakan pemain kelahiran Brazil itu bakal meninggalkan skuad Harimau Selatan ke kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al Sharjah.

Prestasi serta kekurangan tempat dalam kesebelasan utama menyaksikan Bergson hanya menjaringkan tiga gol dalam lima penampilan dengan satu daripadanya hadir menerusi sepakan penalti.

Oleh itu, dengan pulangan Bergson semakin merosot, pasti dia terpaksa melupakan peluang untuk membawa pulang gelaran pemain import terbaik seperti yang diraih musim lalu.

Melihat kepada situasi ketika ini, terdapat tiga pemain import baharu Liga Super yang semakin mendapat perhatian sejak menyertai pasukan masing-masing jendela perpindahan lalu.

1. Diogo Luis Santo (JDT)

Ketika beraksi bersama skuad Harimau Selatan 2019 hingga 2020, nama Diogo Luis Santo sememangnya cukup digeruni dengan kebolehannya untuk menjaringkan gol.

Bagaimanapun, dengan bakatnya semakin terserlah di peringkat Asia, gergasi Thailand, BG Pathum mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke negara itu selepas sebelum ini pernah beraksi bersama Buriram United.

Selepas dua tahun dan mengecapi kejayaan di negara jiran, Diogo akhirnya memilih untuk pulang ke Selatan tanah air bagi menguatkan jentera serangan JDT.

Bagaimanapun, langkah itu sepertinya tepat buat Diogo apabila Bergson terpaksa disisihkan pada awal musim seperti mana dikatakan di atas.

Walaupun pada awalnya langkah itu dipersoalkan berikutan usianya yang mencecah 35 tahun, enam penampilan setakat ini membuktikan sentuhannya masih belum pudar.

340919653_1274484406479286_1002933133769784773_n

Sentuhan Diogo sememangnya masih belum pudar buat JDT musim ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Empat gol dan empat bantuan jaringan memastikan JDT mencatatkan sembilan kemenangan berturut-turut dalam liga dengan 37 jaringan terhasil dalam tempoh itu.

Meskipun dia dilihat berdepan saingan daripada Fernando Forestieri untuk gelaran import terbaik JDT musim ini, pandangan orang ramai menyaksikan nama Diogo lebih dijulang.

Namun, dengan Bergson sudah pulih dan kembali diturunkan di atas padang, adakah pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari akan menurukannya dengan kerap untuk baki musim ini?

2. Ayron del Valle (Selangor FC)

Kritikan ke atas penyerang kelahiran Colombia, Ayron del Valle sememangnya sukar untuk dihalang, termasuk dalam kalangan penyokong Selangor FC.

Di samping jarang membantu mencipta gerakan serangan, pemain berkenaan juga dikatakan tidak berada di kedudukan terbaik untuk menerima umpanan daripada rakan sepasukan.

Bagaimanapun, dengan kesungguhan yang dipamerkan dalam setiap perlawanan, nama penyerang berusia 34 tahun itu terus mekar di bibir penyokong Gergasi Merah.

Tujuh gol dan satu bantuan jaringan memastikan pasukan Lembah Klang itu semakin bertambah musim ini dengan mereka sedang selesa di kedudukan kedua Liga Super.

Bukan itu sahaja, kebolehannya untuk mencipta gandingan bersama pemain sayap, Faisal Halim juga wajar diberikan pujian yang mana menyaksikan Selangor FC muncul sebagai pasukan kedua dengan jaringan terbanyak selepas sembilan perlawanan.

Created with RNI Films app. Profile 'Fuji FP 100C'

Del Valle ketika menjaringkan gol dalam aksi Liga Super antara Selangor FC dan Terengganu FC.

Sumbangannya itu setakat ini juga meletakkannya hanya di belakang Forestieri dalam carta penjaring Liga Super 2022, yang mana satu rekod cukup baik baginya.

Bagi pengikut setia Gergasi Merah pula, kemampuan del Valle untuk segera menyesuaikan diri wajar diberikan pujian, lebih-lebih lagi selepas mereka masih merindui khidmat penyerang berbisa, Ifedayo Olusegun.

Tetapi, mampukah penyerang berkenaan memacu Selangor FC ke pentas Asia seperti mana yang didambakan rata-rata penyokong selepas bertahun-tahun?

3. Stefano Brundo (Sri Pahang FC)

Kejayaan Sri Pahang FC untuk mendapatkan dua penyerang berpengalaman Liga Malaysia, Lucas Silva dan Kpah Sherman cukup menggembirakan penyokong Tok Gajah.

Bagaimanapun, setakat ini, kedua-dua pemain itu masih gagal beraksi di peringkat terbaik, lebih-lebih lagi buat Lucas yang terus dilanda isu kecederaan.

Tetapi, mereka masih boleh menarik nafas lega dengan kehadiran seorang import, Stefano Brundo yang hadir sebagai pemain bertahan.

Namun, dengan Fandi Ahmad turut membawa masuk beberapa bek tengah sepanjang jendela perpindahan, pemain kelahiran Argentina berkenaan terus diletakkan di posisi berbeza.

Hal itu sememangnya cukup menggusarkan sebahagian besar pengikut Tok Gajah yang tidak bersetuju dengan keputusan pihak kejurulatihan Sri Pahang FC.

341700230_760669115505691_5383871776118129191_n

Brundo terus cemerlang, baik dari segi serangan mahupun pertahanan. Facebook/Sri Pahang FC

Tanda tanya itu akhirnya terjawab apabila pemain tengah berusia 29 tahun itu menjadi watak penting buat pasukan Pantai Timur berkenaan, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Lima gol yang terhasil daripada sembilan penampilan Liga Super itu sememangnya cukup bermakna buat mereka yang kini berada di kedudukan ketiga liga.

Lebih membanggakan lagi, tiga daripadanya dijaringkan pada saat-saat getir, iaitu ketika seri dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC selain semasa menang ke atas Kelantan United 10 April lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram