Akui mungkin raya awal, Tomi stres dengan fans Terengganu tapi dah tahu apa nak buat


  • Podium
  • Isnin, 24 Apr 2023

Tomi mula dijadikan 'kambing hitam' ke atas prestasi semasa yang kurang memberangsangkan skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner akui bahawa dia faham akan perasaan penyokong yang mahu menyaksikan kemenangan pasukan selepas rentetan kekalahan yang dicatatkan mereka.

Jurulatih kelahiran Croatia itu juga percaya usaha dan fokus yang diberikan anak buahnya sudah sehabis baik tetapi secara realistiknya, barisan kendaliannya itu masih belum menunjukkan potensi sebenar mereka.

"Penyokong tidak akan berpuas hati kalau kami tewas. Kami juga tidak beraksi baik dalam perlawanan terakhir (bertemu Selangor FC), kami dibolosi lima gol akibat kesilapan individu.

"Jadi kami tidak boleh menjangka layanan yang baik daripada penyokong. Saya sempat berseloroh bahawa pemain saya mungkin sudah menyambut Hari Raya terlalu awal," katanya.

Kekalahan di Stadium MBPJ, Selangor pada 18 April lalu meletakkan skuad Sang Penyu berada di kedudukan keenam selepas sembilan perlawanan.

Bagaimanapun, Tomislav yang juga dikenali sebagai Tomi itu menegaskan pasukannya perlu lebih realistik melihat kepada prestasi semasa mereka.

341523505_1987334374955412_4469556149358323835_n

Skuad Sang Penyu terus mencatatkan rentetan keputusan yang tidak memberangsangkan. — Facebook/Terengganu FC

"Segalanya bergantung kepada keputusan tetapi kami perlu realistik dengan apa yang kami ada di dalam bilik persalinan. Setakat ini saya berpuas hati dengan pemain saya kerana mereka adalah yang terbaik di dunia buat masa ini.

"Kami perlu perbaiki pasukan demi keputusan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya kepada Nadi Arena.

Tambahnya, masalah utama yang diberi perhatian ketika ini adalah di bahagian jentera tengah dengan Tomi masih tercari-cari formula untuk mencorak peluang berbahaya dan membolosi gawang pihak lawan.

"Kami masih lagi cuba mendapatkan seorang pemain tengah yang bukan sekadar mampu mencipta peluang, malah berkemampuan meledak gol. Mereka harus perlu mengimbangi dua dimensi, iaitu bertahan dan lebih kreatif ketika menyerang.

"Saya menginginkan transisi yang lebih kerap di kawasan pertiga lawan, barisan penyerang saya mula menyerlah berbanding pada awal musim ini. Apa pun kami juga memantau pemain di bahagian serangan yang baru," katanya. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram