Selepas dikritik awal musim lalu, import Selangor kini jadi bintang utama


  • Podium
  • Isnin, 24 Apr 2023

Skuad Gergasi Merah sedang berada dalam landasan terbaik untuk memastikan satu musim yang bermakna. — Facebook/Selangor FC

PEMAIN tengah kelahiran Venezuela, Yohandry Orozco mula membuktikan kebolehannya beraksi dalam Liga Malaysia meskipun tubuh badannya yang kecil.

Perancang berusia 32 tahun itu dilihat sudah semakin selesa beraksi bersama rakan sepasukan dengan menjadi tunjang utama jentera serangan pasukan.

Dia yang sebelum ini pernah beraksi bersama kelab Bundesliga, VfL Wolfsburg bergelut pada awal musim apabila ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe kerap menurunkannya sebagai pemain gantian.

Bagaimanapun, melihat kepada lima perlawanan terakhir Liga Super, Orozco mula menyemarakkan musim skuad Gergasi Merah dengan kebolehannya untuk melakukan hantaran dan gelecekan berkualiti.

342977337_744897710612548_234748484325169649_n

Orozco menjadi watak penting skuad Gergasi Merah musim ini. Facebook/Selangor FC

"Saya sering melakukan latihan tambahan untuk memastikan saya boleh beraksi di tahap 100 peratus selain mampu melakukan sumbangan seperti mana diharapkan.

"Pasukan ini terus mempercayai kebolehan saya dan ia memberi satu suntikan motivasi. Rakan sepasukan juga banyak membantu dan kami mula memahami antara satu sama lain," katanya.

Meskipun berdepan saingan di posisi tersebut, kebangkitan dalam prestasi yang ditunjukkan Orzoco membolehkannya terus diletakkan dalam kesebelasan utama.

Selain itu, pemain berketinggian 1.64 meter berkenaan cukup selesa apabila diberikan saingan sihat dengan lambakan pemain tengah Selangor FC musim ini.

"Pada saya, kuncinya adalah untuk hadir sebagai sebuah keluarga dan cuba untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Saya cukup menikmati liga ini dan berharap boleh kekal untuk satu tempoh yang panjang," katanya.

Tiga bantuan gol yang diperolehi Orozco dalam lapan penampilan Liga Super membantu Selangor FC berada di kedudukan kedua dengan hanya satu kekalahan dan satu keputusan seri dicatatkan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram