PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mengesahkan akan ada pemain baharu yang menyertai The Red Warriors (TRW) pada jendela perpindahan kedua Liga Super nanti.
Perkara itu dimuat naik melalui laman rasmi Facebook miliknya yang mana dia menyatakan sudah berbincang dengan barisan kejurulatihan Kelantan FC berhubung kemasukan pemain-pemain baharu.
"Pasal prestasi kita, saya dah bincang semalam (Khamis) dengan Frank Bernhardt, Rezal Zambery dan Qus berserta barisan kejurulatih pasukan untuk perbaiki pasukan.
Kenyataan yang dimuat naik oleh Zamsaham di Facebook.
"Keluarkan pemain dan masukkan lebih ramai pemain berkualiti Liga Super di pusingan kedua, jangan risau saya tak duduk diam, saya buat kerja," katanya di dalam Facebook.
Ini bermakna pihak pengurusan memberi bayangan beberapa pemain berkualiti bakal menyertai TRW menjelang perpindahan kedua Liga Super pada Jun.
Meskipun perpindahan kedua liga masih lagi jauh, beberapa nama pemain sudah mula dikaitkan dengan TRW.
Majoriti senaraikan, lima pemain yang hangat diperkatakan bakal menyertai pasukan dari pantai timur itu.
Sumareh perlu berkelana demi mendapatkan minit permainan musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
1. Mohamadou Sumareh
PEMAIN naturalisasi pertaman negara, Mohamadou Sumareh sejak kebelakangan ini tidak mendapat minit permainan yang cukup sehingga namanya tenggelam dari dunia bola sepak Malaysia.
Penyokong TRW mula mengaitkan Sumareh ke Kelantan selepas Zamsaham memuat naik hantaran berterima kasih kepada TMJ atas pemberian hadiah.
Pemain berusia 28 tahun itu masih belum beraksi dalam perlawanan Liga Super dan hanya melakukan satu penampilan dalam Piala FA.
Ramadhan musim ini berjaya melakukan tiga penampilan serta satu assist bersama JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
2. Ramadhan Saifullah
Berusia 22 tahun, prestasi semasa penyerang muda JDT ini agak terhad musim 2023 selepas baru pulih dari kecederaan.
Ramadhan yang sering kali memberi ancaman kepada pihak lawan setiap kali diturunkan boleh membantu Kelantan dari segi serangan.
Musim ini pemain kelahiran Johor ini berjaya melakukan tiga penampilan serta satu assist di dalam Liga Super dan Piala FA.
Hilal berjaya menjaringkan lima gol dan dua assist bersama Penang musim lalu. — Facebook/MFL
3. Hilal El-Helwe
Bekas penyerang Penang FC, Hilal El Helwe yang ditamatkan kontraknya pada penghujung saingan musim lalu kini difahamkan belum disambar mana-mana pasukan lagi.
Merupakan tonggak skuad kebangsaan Lubnan ketika beraksi di saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan turut mewakili negaranya dalam Piala Asia 2019, pemain berusia 28 tahun ini dijangka akan menjadi pisang goreng panas di pasaran.
Beraksi dalam 19 perlawanan Liga Super musim lepas, Hilal berjaya menjaringkan lima gol dan dua assist.
Noureddine ketika mewakili Perak FC. — Agensi
4. Jad Noureddine
Pemain kebangsaan Lubnan, Jad Noureddine turut dikaitkan dengan TRW selepas tular satu gambar Frank Bernhardt dirakam bersama ejen Shekoo Stars Agency.
Ia mungkin memberi petanda awal bahawa bekas import Perak FC itu bakal kembali untuk merancakkan liga.
Menurut laman sesawang Transfermarkt, ketika bersama Perak, Noureddine hanya sempat melakukan empat penampilan.
Guerra tidak sempat beraksi dengan Sarawak United berikutan Liga M dihentikan seketika gara-gara penularan wabak Covid-19. — Agensi
5. Gabriel Guerra
Destinasi bekas penyerang JDT, Gabriel Guerra masih menjadi teka-teki selepas dia memberi bayangan akan kembali ke pentas bola sepak Malaysia.
Ketika ini khabar angin kuat mengatakan penyerang berusia 30 tahun itu hampir pasti ke Selangor FC bagi mengisi kekosongan pemain bernombor 10.
Di sebalik itu, ada juga desas-desus mengaitkan pemain itu ke skuad JDT semula selepas hantarannya di Instagram mendapat tanda suka daripada bekas rakan sepasukannya di Harimau Selatan.
Guerra yang kini berstatus ejen bebas sudah dua musim tidak memiliki kelab selepas meninggalkan Sarawak United FC pada 2020.
Itupun, dia tidak sempat beraksi dengan skuad Ngap Sayot berikutan Liga Malaysia dihentikan seketika gara-gara penularan wabak Covid-19. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram