JOHOR Darul Takzim (JDT) mencatatkan kemenangan kali kesembilan berturut-turut dalam Liga Super musim ini apabila menewaskan PDRM FC 1-0 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Ia bagaimanapun dilihat sebagai kemenangan tipis buat JDT, ekoran prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun.
Sepanjang tempoh separuh masa pertama, JDT tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan dan mencipta peluang, namun gagal menemui penyudah.
Namun, pengadil mengundang kontroversi apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT pada minit ke-43 apabila menganggap Bergson ditolak Azmi Muslim dalam kotak penalti.
Bergson bagaimanapun gagal menyempurnakan penalti apabila sepakannya berjaya diselamatkan Hakeem Hamidun.
JDT akhirnya memecah kebuntuan apabila Fernando Forestieri menjaringkan gol pada minit ke-61, gol kelapannya dalam Liga Super musim ini.
Tangkap layar posting Azmi Muslim.
Namun insiden yang membabitkan Azmi Muslim dan Bergson itu mendapat respons daripada kapten PDRM FC itu apabila dia memuat naik satu ciapan 'Jenalti' di Twitter beserta gambar bersama bekas penjaring terbanyak Liga Super 2022 tersebut.
Malah ciapan yang dimuat bekas pemain JDT itu juga mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak tempatan.
"Jenis suka berlakon macam ini, kena tackle sampai retak tulang baru dia ada akal," kata AK.
"Hairan, macam mana pengadil boleh bagi penalti? Atas kesalahan apa entah," jelas Lie Ganu.
"Memang pelik pun tiba-tiba JDT dapat penalti," ujar Faizal Adha.
Statistik perlawanan PDRM menentang JDT.
Berdasarkan statistik perlawanan, JDT melakukan 12 percubaan dengan sembilan daripadanya tepat ke arah gol. Bagaimanapun, hanya satu yang berjaya diterjemah sebagai gol iaitu gol Forestieri.
Penjaga gol JDT, Syihan Hazmi Mohamed tidak perlu berbuat apa-apa, lain pula ceritanya dengan penjaga gol PDRM, Hakeem Hamidun.
Walaupun ini merupakan kemunculan pertamanya bersama The Cops, Hakeem banyak kali menghampakan jentera serangan JDT diketuai Bergson.
Prestasi mengagumkan yang ditunjukkan Hakeem turut menjadikan PDRM sebagai pasukan kedua selepas Selangor yang menghalang JDT menjaringkan gol pada separuh masa pertama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram