SELEPAS menerima status naturalisasi September lalu, pemain tengah, Sergio Aguero semakin dikenali dan disanjung penyokong bola sepak tanah air.
Kehadirannya bersama skuad kebangsaan ketika kempen Piala AFF 2022 cukup membanggakan dengan dia membantu Harimau Malaya mara ke peringkat separuh akhir.
Selain memainkan watak penting di tengah padang, dua gol yang dijaringkan ketika bertemu Laos dan Singapura membuktikan bahawa dia sememangnya layak untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Kebolehannya juga sekali lagi terserlah ketika bersama Sri Pahang FC musim ini dengan skuad kendalian Fandi Ahmad mula beraksi di tahap terbaik.
Selain masih belum mencatatkan kekalahan selepas sembilan aksi Liga Super, 15 mata yang dikumpul setakat ini turut meletakkan skuad Tok Gajah di kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, kecederaan yang dialami baru-baru ini menyaksikan Aguero terpaksa disisihkan dengan dia hanya diturunkan dalam empat perlawanan setakat ini.
Aguero menjadi watak utama buat skuad Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF 2022. — Facebook/FAM
Kekangan dari segi peluang itu menyebabkan pemain berusia 29 tahun itu hanya berjaya menjaringkan satu gol di samping mencipta satu bantuan jaringan.
Kehilangannya itu sememangnya dirasai dengan skuad Tok Gajah tersingkir dari saingan Piala FA di samping gaya permainan mereka semakin tumpul, lebih-lebih lagi di hadapan pintu gol lawan.
Hal itu membuktikan bahawa Aguero memainkan peranan penting dengan dia juga pernah diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan tangan kapten dalam beberapa penampilannya.
Bagi membuktikan kebolehannya untuk mengemudi sesebuah pasukan, pemain kelahiran Argentina itu mengambil inisiatif tersendiri apabila mengambil lesen kejurulatihan.
Perkara gembira itu dikongsikannya menerusi satu hantaran di Instagram peribadinya baru-baru ini yang menunjukkannya sedang berada dalam sebuah kelas yang diadakan secara maya.
"Tidak akan pernah berhenti daripada belajar, bermimpi dan juga terus berkembang. Gembira untuk saya katakan bahawa saya sedang berada dalam sebuah kursus untuk jadi jurulatih bola sepak profesional.
Aguero ketika sedang berada dalam kelas kejurulatihan yang diadakan secara maya. — Instagram/aguero.sergio16
"Saya cukup menghargai peluang untuk belajar di mana pengendali dari Amerika Selatan menerima ilmu. Saya boleh mempelajarinya dari rumah dan memperolehi lesen untuk bekerja di mana-mana sahaja," katanya.
Pendekatan yang diambil Aguero itu sememangnya wajar untuk diberikan perhatian dengan dia masih mempunyai tempoh yang panjang sebagai seorang pemain.
Bagaimanapun, dengan isu kejurulatihan sedikit membelenggu landskap bola sepak tanah air, keputusan awal pemain Sri Pahang itu sememangnya wajar dipuji.
Menerusi perkongsian Aguero itu, dia difahamkan sedang mengambil lesen kejurulatihan di bawah perbadanan Campus Virtual ATFA yang cukup terkenal.
Antara nama-nama besar yang pernah menimba ilmu di pusat berkenaan adalah bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar yang kini menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram