PEMAIN yang sedang meningkat naik, Azwan Aripin dilihat semakin selesa di posisi pertahanan kiri Sri Pahang FC.
Anak jati Kelantan yang baru sahaja menyertai skuad Tok Gajah pada musim lalu juga dilihat semakin cemerlang dalam menggalas tugas sebagai benteng pertahanan bersama pasukannya itu.
Malah pada musim lalu, dia cemerlang menjaringkan gol yang cukup cantik ketika bertemu Penang FC sehingga ada yang merasakan golnya layak dicalonkan untuk anugerah Puskas.
Pada masa sama, pemain berumur 27 tahun yang turut boleh bermain di posisi tengah sering diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama dalam skuad kendalian Fandi Ahmad.
Azwan Aripin dilihat semakin selesa di posisi pertahanan kiri skuad Tok Gajah. — Facebook/SriPahangFC
Meskipun belum lagi mencatatkan nama sebagai penjaring gol sepanjang lapan perlawanan aksi Liga Super musim ini, kelincahan pemain itu yang sentiasa memberikan hantaran bijak kepada pemain lain berjaya menambat hati penyokong.
Malah, dia juga disifatkan sebagai seorang pemain pertahanan yang sangat kental dan terlalu sukar untuk ditewaskan oleh pemain penyerang lawan.
Sehubungan itu, ada dalam kalangan peminat yang mula membandingkan pemain berketinggian 171 sentimeter itu dengan pemain pertahanan yang lain.
Syazwan Andik menyertai Sri Pahang secara pinjaman dari JDT bagi musim 2023. — Facebook/SriPahangFC
Seorang penyokong, Eddie Azmi berasakan prestasi Azwan Aripin lebih bagus berbanding dengan Syazwan Andik.
"Lebih bagus daripada Syazwan Andik. Seorang pemain yang lasak serta mampu membuat serangan dan hantaran yang baik," katanya.
Untuk rekod, pemain bek sayap, Syazwan Andik menyertai Sri Pahang secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) bagi musim 2023 dan bersama JDT II sejak 2019.
Begitupun kematangan dalam permainan Azwan pasti boleh disaingi Syazwan yang seusia dengannya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram