Gambar lama buktikan duo muda TFC ada hubungan istimewa


  • Podium
  • Isnin, 24 Apr 2023

Safwan (kiri) ketika aksi Piala Sumbangsih 2023 menentang Johor Darul Takzim. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SELEPAS menduduki tangga kedua Liga Super musim lalu, Terengganu FC berdepan tempoh yang sukar tahun ini selepas hanya merekodkan 13 mata daripada sembilan perlawanan.

Prestasi terumbang-ambing itu menyaksikan skuad Sang Penyu berada di kedudukan keenam dengan hanya dibezakan dengan satu mata di atas Kuala Lumpur (KL) City FC.

Taktikal ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner pastinya menjadi bahan bualan dengan pengendali dari Croatia itu terus diberikan tekanan daripada penyokong.

Pemilihan pemain dalam kesebelasan utama untuk setiap perlawanan pastinya menjadi topik perbualan hangat dengan pasukan Pantai Timur terbabit terlalu mudah dibolosi dalam Liga Super.

Bagi mereka, pihak kejurulatihan Terengganu FC perlu melakukan perubahan dengan meletakkan pemain muda, Safwan Mazlan lebih kerap di posisi pertahanan tengah.

Hal ini kerana pemain berusia 21 tahun itu sudah menunjukkan satu prestasi konsisten bersama skuad simpanan Sang Penyu musim lalu yang beraksi dalam Liga Perdana.

Malah, bakatnya itu juga mula disedari ketua jurulatih skuad kebangsaan Bawah 23 tahun (B-23), E Elavarasan yang memberikannya debut ketika aksi Piala Merlion pada Mac.

WhatsApp Image 2023-04-23 at 17.29.53

Azam (diri, kiri) dan Safwan (diri, tiga dari kiri) dalam aksi Piala Merlion 2023. Facebook/FAM

Bagaimanapun, sejak Liga Super membuka tirainya hujung Februari lalu, Safwan hanya diberikan peluang beraksi selama 40 minit dengan kesemuanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.

Perkara itu dirasakan penyokong sebagai salah satu punca benteng Terengganu FC terlalu goyah musim ini dengan Tomislav lebih mempercayai khidmat Shahrul Nizam Ros Hasni di posisi berkenaan.

Jadi, dengan skuad Sang Penyu bakal berdepan Sri Pahang FC pada Rabu, khidmat Safwan sepertinya ditagih dalam usaha memperkukuhkan lagi pertahanan pasukan.

Bukan itu sahaja, majoriti pengikut setia Sang Penyu juga berasakan terdapat satu lagi faktor anak jati Terengganu itu mengekang gerakan pihak lawan.

Hal tersebut berpunca daripada sekeping foto yang dikongsikan seorang pengguna Facebook, Shahrin Ganu Nelang yang memaparkan Safwan ketika masih berada di peringkat akar umbi.

"Azam Azmi (Murad) dan Safwan Mazlan ketika di Sekolah Sukan Bukit Nenas, Terengganu di peringkat B-15. Masih bersama-sama dalam pasukan Terengganu FC dan Malaysia B-22," tulisnya.

Dalam foto berkenaan, kedua-dua pemain skuad Sang Penyu itu dilihat sedang bersedia untuk menghadapi perlawanan yang tidak diketahui lebih lanjut.

342209441_530685522602771_7686298626139483335_n (1)

Safwan (kiri) dan Azam ketika bersama Sekolah Sukan Bukit Nenas. Facebook/Shahrin Ganu Nelang

Azam Azmi sememangnya merupakan salah seorang tonggak Terengganu FC sejak diletakkan ke dalam skuad utama pada 2020 oleh bekas pengendali, Nafuzi Zain.

Kebolehan fizikalnya sememangnya satu kelebihan sehingga ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon meletakkannya dalam kesebelasan utama ketika aksi Piala AFF 2022.

Musim ini, pemain yang sudah memasuki usia 22 tahun itu beraksi dalam kesemua perlawanan buat skuad Sang Penyu, termasuk ketika kemenangan 4-0 ke atas Melaka FC dalam saingan Piala FA.

Foto yang dikongsikan itu sememangnya meraih perhatian bercampur-baur daripada rata-rata penyokong Terengganu FC dengan ada daripada mereka cukup berminat dengan graduan sekolah sukan itu.

"Terbaik kesemua produk daripada Sekolah Sukan Bukit Nenas, anda semua memang terbaik," kata Khairul Azmi Wahab.

"Melihat kepada struktur fizikal masing-masing, boleh pergi jauh dalam karier masing-masing. Cuba tengok kepada pemain Terengganu FC ketika ini," kata Zamanee Aman.

"Sekolah Sukan Bukit Nenas boleh dianggap sebagai 'kilang' kepada pemain-pemain negara," kata Jepp AJ. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram