Bantu selamatkan musim Persikabo, nama Aidil Sharin semakin mekar di Indonesia


  • Podium
  • Ahad, 23 Apr 2023

Aidil pernah menikmati satu tempoh manis dan pahit bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

BAGI menghidupkan peluang untuk bergelar salah sebuah pencabar Liga Super musim ini, pihak pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC mengambil keputusan melakukan perubahan secara besar-besaran.

Antara perkara awal yang dibuat adalah dengan melantik bekas jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain untuk mengemudi pasukan utara tanah air itu.

Keputusan itu dibuat untuk menggantikan pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak yang dirasakan sudah tidak lagi sesuai mengemudi KDA FC.

Dia yang mengemudi skuad Sang Kenari sejak 2019 mempamerkan satu sentuhan bersemangat pada awalnya selepas membantu pasukan itu menjulang trofi Piala FA pada tahun yang sama.

Tidak cukup dengan itu, kelab berkenaan juga pernah melangkah ke final Piala Malaysia 2019, namun tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan 0-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Namun, musim lalu, tekanan mula dirasakan selepas prestasi terumbang-ambing pasukan selepas menempuhi satu tempoh dengan KDA FC tidak mencatatkan sebarang kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut.

Rentetan keputusan buruk itu akhirnya memberi kesan negatif buat pasukan berkenaan yang menamatkan saingan Liga Super 2022 di tangga kelapan.

Jadi, pada Oktober tahun lalu, nasib Aidil Sharin akhirnya ditentukan dengan pengumuman di media sosial menyaksikan ketua jurulatih berusia 45 tahun itu ditamatkan kontraknya.

WhatsApp Image 2023-04-23 at 18.38.48

Khidmat Aidil ditamatkan selepas skuad Sang Kenari menamatkan musim di tangga kelapan. Facebook/KDA FC

Tetapi, tidak lama selepas itu, khidmatnya kembali ditagih selepas sebuah kelab Liga 1 Indonesia, Persikabo 1973 melantiknya pada Januari 2023.

Kelab yang juga dikenali dengan gelaran Laskar Padjajaran mengambil keputusan itu apabila mereka sedang bergelut di zon penyingkiran sepanjang musim.

Namun, sejak kehadiran Aidil, nasib pasukan berkenaan menunjukkan perubahan meskipun sedikit bergelut pada lima perlawanan awal kariernya di Indonesia.

Bagaimanapun, selepas mencatatkan kemenangan pertama buat Persikabo ketika menentang PSS Sleman, jurulatih itu tidak lagi menoleh ke belakang.

Ia termasuk kemenangan bergaya 4-1 ketika bertandang ke Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Jawa Barat semasa bertemu pasukan di tangga ketiga Liga 1 Indonesia, Persib Bandung.

Kemenangan dalam perlawanan ke-34 liga itu memastikan Persikabo menamatkan saingan di kedudukan ke-14, sekali gus terselamat daripada penyingkiran ke divisyen bawahan.

341851117_1616220592225073_3266613720655301834_n (1)

Aidil Sharin menerima anugerah mingguan selepas menundukkan Persib Bandung 4-1. Facebook/Liga 1 Indonesia

Malah, kejayaan bermakna itu juga memastikan Aidil dipilih sebagai jurulatih terbaik mingguan yang mana pastinya cukup membanggakan buatnya.

Walaupun masih gagal untuk meletakkan Persikabo di kedudukan lebih baik, ia pastinya membantunya melupakan satu tempoh mengecewakannya ketika bersama KDA FC musim lalu.

Bagaimanapun, skuad Sang Kenari juga pasti tidak terlalu terkesan dengan anugerah tersebut memandangkan mereka turut mempamerkan satu prestasi membanggakan ketika ini.

Di bawah kendalian Nafuzi, pasukan Utara tanah air itu masih diangkat sebagai salah sebuah pencabar takhta Liga Super selepas berada di tangga kelima Liga Super selepas sembilan perlawanan.

Tetapi, mereka juga terpaksa menelan realiti pahit selepas tersingkir awal daripada saingan Piala FA 2023 di tangan Penang FC awal Mac lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram