NAMA Puaka Jerai tidak asing dalam kalangan penyokong bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Manakan tidak, penyokong tegar skuad Sang Kenari itu memberi sokongan kepada pasukan dengan cara cukup unik iaitu mengenakan kostum hijau kuning berserta hiasan kepala bunga matahari.
Puaka Jerai atau nama sebenarnya, Zulkifli Hashim, 44, berkata, dia mengenakan kostum sedemikian sejak 10 tahun lepas dan kini ia sudah menjadi sebahagian daripada identitinya.
Menceritakan idea untuk kostum itu, bapa kepada dua orang anak itu berkata, rekaan bermula ketika dia dan adiknya mencipta topi mengkuang dan meletakkan sekuntum bunga matahari pada topi tersebut.
Zulkifli mengenakan kostum unik ini sejak 10 tahun lepas hingga ia menjadi sebahagian daripada identitinya. — Facebook/ Puaka Jerai
"Kami berdua memakainya ketika ke Stadium Darul Aman pada tahun 2014. Kemudian saya olah sedikit demi sedikit setiap tahun hinggalah ke hari ini.
"Selain kostum, saya juga buat replika piala daripada barangan terpakai seperti batang paip PVC, tudung periuk kukus, baldi, bola getah dan corong minyak," katanya kepada Majoriti.
Menurut Zulkfili, tema bunga matahari membawa maksud sinaran baharu kepada kebangkitan KDA FC dalam kancah bola sepak Malaysia.
Katanya, meskipun ada yang mentertawakannya kerana berpenampilan pelik, dia tidak kisah dengan ejekan atau kata-kata nista yang dilemparkan.
Bukan sahaja kostum malah Zulkifli turut membuat replika trofi daripada barang terpakai — Facebook/ Puaka Jerai
"Ada yang pernah panggil saya gila dan sewel kerana ke stadium dengan kostum pelik ini. Malah saya pernah menerima ugutan bunuh, tetapi ia tidak pernah melunturkan semangat untuk terus menyokong bola sepak Kedah.
"Setiap tahun saya habiskan ribuan ringgit semata-mata mahu menyokong bola sepak Kedah tanpa mengharapkan apa-apa balasan termasuk tiket percuma.
"Bahkan saya pernah beratur panjang dan tidur di kaki lima stadium untuk mendapatkan tiket seperti penyokong lain," ceritanya lagi.
Pelekat kereta bertemakan Hijau Kuning dan KDA FC menghiasi kereta yang pernah menjadi milik Zulkifli. — Facebook/ Puaka Jerai
Zulkifli yang bekerja sebagai peniaga burger berkata, selain menyara keluarga, dia menggunakan pendapatan itu untuk menghasilkan kostum, membeli tiket perlawanan dan menghias kereta dengan tema Hijau Kuning.
Bagaimanapun, kereta jenis Perodua Kancil yang dipanggil Si Besi Kuning itu terpaksa dijual pada pertengahan tahun lepas atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
"Apabila saya pakai kostum ini, saya dapat banyak jemputan daripada pelbagai entiti seperti agensi kerajaan, syarikat korporat dan sekolah sebagai tetamu kalau ada aktiviti berkaitan sukan.
"Jadi bukan saja-saja saya buat semua ini sebaliknya ini cara saya promosikan bola sepak Kedah.
"Kalau ada sumbangan tunai yang diperoleh, semua akan disalurkan semula kepada penyokong KDA FC lain yang kurang bernasib baik," ceritanya yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC).
Zulkifli dan isterinya menjalankan perniagaan burger sejak 2010. — Facebook/ Puaka Jerai
Bercerita mengenai perniagaannya, Zulkifli berkata, sepanjang bulan Ramadan, dia menerima banyak tempahan khas untuk disedekahkan kepada rumah anak yatim, maahad tahfiz dan sekolah agama sekitar Yan.
"Kalau pada hari kebanyakan, saya jual burger tapi istimewanya bulan puasa, saya buka tempahan roti john dan ia sudah memasuki tahun kelima saya berbuat demikian.
"Saya cari siapa sahaja yang ingin berkongsi rezeki dengan mereka dan harga pun sangat berpatutan kerana saya enggan membebankan pelanggan.
"Roti john pun kami jual bermula pada harga serendah RM3.50 selain menu lain seperti roti kukus ayam dan daging. Menu biasa iaitu burger akan dijual seperti biasa pada hari raya kedua nanti," katanya yang mengusahakan perniagaan burger bersama isteri sejak 13 tahun lalu.
Gambar kenangan Zulkifli bersama Baddrol (kanan). — Facebook/ Puaka Jerai
Zulkifli memberitahu, dia amat menggemari legenda bola sepak KDA FC, Baddrol Bakhtiar kerana pemain itu banyak mencipta sejarah dan kejayaan buat skuad Sang Kenari.
"Bagi pemain import, Marlon Alex James, Nelson San Martin dan Cornelius Huggins sentiasa dalam ingatan saya dan penyokong Kedah lain kerana mereka sukar antara pemain asing yang sukar dicari ganti.
"Kalau musim ini, saya suka tengok Manuel Hidalgo kerana dia nampak cukup lincah bersama pasukan. Harap bekas pemain Sri Pahang FC itu dapat membantu skuad KDA FC musim," katanya.
Rakaman video ketika Azmeer mengalami kecederaan pada aksi final Piala Malaysia 2019. — Facebook/ Puaka Jerai
Menceritakan kenangan raya yang tidak boleh dilupakan, Zulkifli berkata, dia berbesar hati kerana pernah menerima jemputan ke rumah terbuka Baddrol di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani.
"Badd seorang pemain yang amat disegani, tidak sombong dan amat menghormati penyokong. Kalau pi (pergi) stadium pun dia tegur peminat semua," katanya mengimbau kenangan bersama pemain tengah itu yang kini berkhidmat dengan Sabah FC musim ini.
Tambah Zulkifli, dia juga mempunyai memori persahabatan yang cukup akrab dengan Azmeer Yusof iaitu bekas pemain pertahanan kiri KDA FC.
Zulkifli mempunyai persahabatan yang akrab dengan Azmeer (kanan). — Facebook/ Puaka Jerai
Menurutnya, Azmeer antara pemain yang mempamerkan semangat kesukanan cukup tinggi dan ia boleh dilihat ketika aksi final Piala Malaysia 2019 menentang Johor Darul Takzim yang mana Azmeer tetap mahu bersama pasukan meskipun dia mengalami kecederaan.
"Saya mula kenal dan rapat dengan Azmeer pada 2016. Ketika dia masih berkhidmat dengan pasukan, saya dan kelab penyokong banyak memberi semangat untuk dia berjuang dalam bola sepak meskipun menerima kritikan.
"Kini semua dah jadi kenangan buat saya dan sukar dilupakan sampai bila-bila walaupun Azmeer dan Badd tidak lagi bersama KDA FC," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram