BUKAN lagi rahsia apabila Kelantan FC bakal melakukan satu revolusi dalam barisan pemainnya selepas kelab Pantai Timur itu terpalit kontroversi kejurulatihan.
Difahamkan, The Red Warriors (TRW) bakal melaksanakan kerjasama dengan Shekoo Stars Agency selepas ketua jurulatih kelab itu, Frank Bernhardt dirakam bersama ejen agensi terbabit, Shekoo.
Turut dirakam bersama dalam foto berkenaan ialah legenda Kelantan FC, Mohammed Ghaddar.
Ia mungkin memberi indikasi awal bahawa bekas import Liga Malaysia (Liga M) bakal kembali untuk merancakkan liga.
Berdasarkan data Transfermarkt Shekoo Stars Agency, sekurang-kurangnya lima pemain berstatus ejen bebas ketika ini.
Mereka antaranya ialah bekas pemain Penang FC musim lalu, Hilal El-Helwe dan Jad Noureddine serta Samir Ayass (bekas pemain Perak FC) pada pertengahan musim 2021.
Ketiga-tiga pemain tersebut berada di bawah naungan agensi itu dan dilihat masih belum terikat dengan mana-mana pasukan selain memiliki pengalaman bermain di Liga M beberapa musim lalu.
Menurut data tersebut, Hilal, 28, bermain di posisi serangan manakala Jad Noureddine, 31, (pertahanan) dan Samir, 32, (posisi tengah).
Ini secara tidak langsung memberi indikasi awal bahawa mereka bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Carli de Murga (posisi tengah) dan Christian Rontini (pertahanan).
Sebelum ini pemerhati Liga M, Marco Negeri di Twitter berkata, jika pemilik Kelantan, Norizam Tukiman mahu mengulangi keajaiban sentuhan Bernhardt, tentunya pemain setaraf bekas import Kedah Darul Aman (KDA FC), Rabih Ataya wajar dibawa masuk di jendela perpindahan.
Begitupun, Ataya dilaporkan baru sahaja menandatangani kontrak bersama Nejmeh SC sebulan lepas sekali gus memberi bayangan mungkin pemain lain bakal dibawa masuk ke TRW.
Shekoo sebelum ini muncul sebagai seorang individu penting yang membantu Penang FC sepanjang jendela perpindahan ketika mereka membawa masuk Ousmane Fane, Soony Saad dan Curt Dizon.
Pemain berusia 33 tahun itu merupakan seorang pemain kelab semi-profesional, Shah Alam Antlers.
Baru-baru ini, Kelantan FC terpalit kontroversi kejurulatihan selepas kehilangan pengendali, Choi Moon-sik, selain kehilangan kudrat Carli de Murga dan Christian Rontini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram