SAMBUTAN Aidilfitri bakal disambut tidak lama lagi sudah pastinya menyaksikan anak-anak perantau tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Seperti orang kebanyakan, pemain bola sepak tempatan juga tentunya memendam perasaan yang sama untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan menunaikan ibadah puasa.
Paling meriah pastinya di negeri Che Siti Wan Kembang apabila saban tahun, ramai penduduk luar Kelantan bersesak-sesak pulang hingga waktu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu boleh mencecah 18 jam menjelang perayaan berkenaan.
Arif Aiman meraikan sambutan Aidilfiri di Kelantan pada tahun lepas. — Instagram @ariifaiman42
Tahun lalu, bintang muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air apabila berkongsikan gambarnya beraya di Kelantan.
Bermula daripada gambar itulah, barulah diketahui yang pemain sayap lincah JDT itu mempunyai darah keturunan negeri Che Siti Wan Kembang daripada sebelah bapanya.
Selain Arif Aiman, berikut empat bintang Liga Super yang bakal pulang beraya di negeri Serambi Mekah itu.
Khairul Fahmi bersama keluarganya meraikan Aidilfitri di Kelantan pada tahun lepas. — Instagram @fahmiapexs
1. Khairul Fahmi Che Mat (Sabah FC)
Meskipun berkelana di Negeri Bawah Bayu, penjaga gol Sabah FC yang terkenal dengan gelaran Apek itu tentunya akan pulang beraya di Kelantan.
Pemain berumur 34 tahun yang berasal dari Kota Bharu itu berkongsi kampung halaman dengan isterinya, Nur Eilunie Natasha Jaafar (Leuniey) yang juga berasal dari bandar sama.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 28 Disember 2012 dan memiliki tiga orang anak.
Ahmad Syihan bersama keluarganya meraikan Aidilfiri pada tahun lepas. — Instagram @bieysuyien
2. Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (JDT)
Seperti Apek, Syihan juga merupakan anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang berkelana di selatan tanah air selepas mengikat kontrak dengan JDT musim ini.
Penjaga gol Harimau Selatan berusia 27 tahun itu juga mengahwini wanita dari Kelantan, Siti Nabila Syakirin atau lebih mesra dengan nama ‘Biey Suyien’ dan memiliki dua cahaya mata.
Untuk sambutan Aidilfitri kali ini, Syihan yang juga bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC pada musim lepas, pasti enggan melepaskan peluang balik ke kampung halaman untuk beraya bersama keluarga tercinta.
Kalamullah Al-Hafiz dan keluarganya pada sambutan Hari Raya Puasa tahun lalu. — Instagram @ninii_taj95
3. Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (KDA FC)
Mungkin tidak ramai mengetahui sebenarnya Kalamullah yang berusia 27 tahun itu merupakan pemain kelahiran Pasir Puteh, Kelantan.
Bekas penjaga gol utama pasukan PJ City FC itu berkhidmat dengan skuad Sang Kenari di bawah kendalian Nafuzi Zain bagi musim ini.
Bagi Aidilfitri kali ini, kemeriahan pasti lebih dirasai dengan rezeki kurniaan ALLAH apabila dia dan isterinya, Haryanie Taj menantikan kelahiran anak keempat mereka.
Pertambahan ahli baharu dalam keluarga semestinya bakal menambah keceriaan buat Kalamullah sekeluarga di Aidilfitri.
Azri mahu pulang beraya bersama ibunya di Kelantan. — Instagram @azrighani30
4. Muhammad Azri Abd Ghani (KL City FC)
Penjaga gol berusia 23 tahun yang berkhidmat dengan skuad The City Boys sejak musim lepas ini juga merupakan anak kelahiran Kota Bharu.
Anak keempat dari lima beradik itu tidak sabar untuk pulang ke Kelantan tahun ini bagi meraikan Aidilfitri bersama ibu tercinta, Siti Nor Saleeh.
Meskipun tanpa arwah ayah di sisi, Azri pastinya mengharapkan Aidilfitri membawa kegembiraan buat seisi keluarganya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram