SEMPENA kedatangan bulan Ramadan, terdapat beberapa individu dan kumpulan yang giat dalam mengadakan program untuk warga gelandangan dan miskin bandar di kawasan tertentu.
Hal ini kerana, masih terdapat segelintir warga gelandangan dan miskin bandar yang tidak dapat meraikan bulan Ramadan.
Oleh itu, amalan itu sangat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.
Usaha yang dilakukan oleh beberapa individu itu juga memberikan pengalaman baharu kepada mereka yang belum pernah menyertai progam itu.
Program itu sedikit sebanyak meringankan beban mereka sempena bulan Ramadan berikutan dengan masalah mereka iaitu terpaksa mengikat perut dalam kehidupan seharian kerana tidak mempunyai wang menyebabkan mereka berkeliaran dan mengemis di merata tempat termasuklah di pelusuk bandar raya.
Masalah yang tiada berkesudahan itu terus menjadi tumpuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang gigih menyalurkan bantuan.
Begitu juga bagi Youth Action Force Damansara yang tampil mengimarahkan bulan Ramadan dengan menggerakkan aktiviti tanggungjawab korporatnya dibantu oleh sekumpulan sukarelawan anak muda untuk menyantuni kelompok gelandangan di ibu negara.
Presiden NGO berkenaan, Abolqaz Anuar yang mengepalai program tersebut memilih berkongsi rezeki dengan warga gelandangan dan miskin bandar sekitar Kuala Lumpur.
Program Kongsi Jumaat itu dijayakan bersama 50 sukarelawan yang mulai menapak dari kawasan sekitar gedung Kota Raya sehingga ke Jalan Raja Laut, bagi mendekati gelandangan serta menyalurkan bantuan.
Abolqaz (dua dari kanan) mengagihkan makanan dan cenderhati kepada warga gelandangan dan miskin bandar.
Selesai Isyak, mereka mula berkumpul di Stesen Bas Jalan Silang dan disertai oleh Food For Gelandangan (FFG), iaitu NGO yang aktif menyalurkan bantuan kepada golongan miskin bandar. Acara amal itu bertambah meriah dengan penyertaan pelatih Akademi Laut Malaysia (ALAM).
Menurut Abolqaz, usaha yang dilaksanakan itu bagi melihat sendiri penderitaan gelandangan walaupun terpaksa memasuki lorong gelap dan kotor untuk memastikan mereka tidak terkecuali daripada mendapat bantuan makanan dan sumbangan lain.
"Tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama, kami sentiasa terbuka untuk membantu setiap lapisan masyarakat yang dihimpit kesukaran hidup.
"Pada mulanya hanya saya, keluarga dan rakan-rakan sahaja terlibat dalam kempen ini, namun sekarang kami membuka penyertaan kepada orang awam yang ingin turut serta berganding bahu menyalurkan bantuan.
"Saya mengalu-alukan golongan muda untuk bersama kami dalam menggerakkan kempen kebajikan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan," kata Abolqaz.
Malahan, menjelang Syawal, Youth Action Force Damansara juga bakal bekerjasama dengan sektor korporat bagi program pemberian baju raya bagi golongan miskin bandar.
Anak kelahiran Petaling Jaya itu berkata, bukan hanya mahu menjalankan aktiviti amal di kawasan Lembah Klang malah dia berhasrat memberi bantuan kepada golongan memerlukan di dalam dan luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram