SELEPAS memutuskan untuk meninggalkan Kelantan FC pada pertengahan April lalu, masa depan bekas pemain import skuad The Red Warriors (TRW), Carli De Murga untuk berkelana di bumi Indonesia nampaknya masih samar-samar.
Sebelum ini, bekas tonggak pertahanan pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) itu ditawarkan kontrak sehingga Disember tahun ini namun De Murga memilih untuk menamatkan ikatan berkenaan lebih awal.
Pemain kebangsaan Filipina itu pada awalnya dikaitkan akan menyertai salah satu kelab yang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia dan antara pasukan tersebut ialah PSS Sleman, Persis serta Dewa United.
Namun lain pula jadinya apabila pemain berusia 34 tahun itu difahamkan masih tidak mendapat jawapan daripada kelab negara jiran dan sehingga kini De Murga berstatus ‘free agent’ pada laman Transfermarkt.
Lebih mengejutkan apabila ada desas-desus mengatakan pemain berketinggian 180 sentimeter itu membuat pusingan U dengan menyertai pasukan lamanya iaitu Terengganu FC (TFC) dan tidak kurang juga mengaitkannya dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
De Murga ketika menyarung jersi skuad Penyu. — Instagram/DeMurga
“Dikhabarkan Carli De Murga, bekas kapten Terengganu bakal di dawa kembali bersama Terengganu FC kerana cerita ke Liga Indonesia divisyen satu juga tidak kukuh. Dan Kedah FC juga ada cerita tapi ia hanya suam-suam,” kata penyokong TFC, Conform King.
Skuad Sang Penyu merupakan kelab pertama De Murga dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan disebabkan persembahan cemerlangnya bersama TFC pada musim 2021, JDT mengambil inisiatif untuk membawanya masuk sebagai pemain baharu pada 2022.
Bekas pemain kelab Thailand, Chonburi itu berjaya melakukan 17 penampilan liga pada musim 2021 untuk membantu kelab berpangkalan di Pantai Timur itu menduduki tangga keempat.
Jika benar De Murga ke KDA FC, pemain itu akan kembali bersatu dengan Nafuzi. — Facebook/KDA FC
Di sisi lain, pemain warisan Filipina-Sepanyol itu juga dikatakan akan membuat reunion semula dengan gurunya iaitu Nafuzi Zain di bumi Darul Aman.
Untuk rekod, pengendali muda itu dan De Murga pernah bekerjasama ketika berada di skuad Peteh yang mana pemain itu mendapat kepercayaan Nafuzi untuk turun beraksi sebagai kapten pasukan.
Meskipun belum mendapat sebarang kenyataan rasmi daripada pihak De Murga, pasti kedua-dua pasukan berkenaan memerlukan khidmatnya untuk menjaga kubu pertahanan dan bek tengah itu pernah digelar sebagai kereta kebal terbaik TFC dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram