PELBAGAI perkara dapat disaksikan penyokong bola sepak tanah air memasuki minggu ke-10 Liga Super dengan beberapa isu menarik wajar dikupas.
Salah satu isu yang semestinya menerima perhatian adalah bagaimana sesebuah pasukan terlalu mudah dibolosi dalam setiap hari perlawanan.
Berdasarkan pemerhatian awal ke atas carta liga, pasukan yang paling kerap dibolosi ialah Kelantan FC yang ketika ini berada di kedudukan ke-13.
Sejak mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Penang FC 5 Mac lalu, mereka gagal merekodkan sebarang 'clean sheets' dengan dibolosi sekurang-kurangnya dua kali setiap perlawanan.
Ketika ini, skuad The Red Warriors (TRW) sudah melepaskan 31 gol, iaitu purata lebih daripada tiga gol setiap kali beraksi dalam Liga Super.
Pasukan lain yang juga berdepan prestasi tidak meyakinkan di benteng pertahanan adalah Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Bagi skuad Sang Kenari, kedudukan kelima mereka selepas sembilan perlawanan tidaklah terlalu membanggakan memandangkan mereka sudah dibolosi sebanyak 14 kali.
Catatan itu adalah yang paling teruk berbanding lima pasukan teratas yang masa tentunya cukup merisaukan buat ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
Perak FC juga perlu mencari solusi untuk menyekat pihak lawan memandangkan skuad The Bos Gaurus (TBG) hanya merekodkan dua perlawanan tanpa dibolosi setakat ini.
Kehadiran wajah-wajah muda di samping kecederaan yang membelenggu import pertahanan, Sunday Afolabi dilihat sebagai sebab utama mereka terus berdepan nasib berkenaan.
Jadi, dengan jendela perpindahan hanya akan dibuka pada Julai akan datang, pihak pengurusan pastinya akan mencari penyelesaian terbaik melalui perbelanjaan berhemah.
Tetapi, selepas melakukan pelaburan besar-besaran pada jendela perpindahan Liga Malaysia pertama, ketiga-tiga kelab itu pastinya akan cuba untuk mencari pendekatan baharu.
Ini termasuk membawa masuk pemain yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau lebih dikenali dengan terma 'free agent' dalam dunia bola sepak.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dilihat sesuai untuk meningkatkan kualiti benteng pertahanan pasukan yang masih terlalu ampuh ketika ini.
1. Suk-won Jang
Selain cukup berpengalaman dalam liga tempatan, Suk-won Jang juga pernah berpeluang beraksi di peringkat antarabangsa bersama skuad Bawah 23 (B-23) Korea Selatan.
Namun, apa yang lebih menarik perhatian buat pemain itu pastinya apabila dia merupakan salah seorang tonggak Melaka United pada 2021.
Kepintarannya dalam membaca gerakan pihak lawan wajar diberikan perhatian dengan pemain berkenaan membantu skuad Hang Tuah mara ke separuh akhir Piala Malaysia dua tahun lalu.
Pengalamannya itu bagaimanapun menarik perhatian KDA FC yang sanggup melakukan pelaburan untuk mendapatkan khidmatnya musim lalu.
Tetapi, dengan kehadiran lambakan pemain berkualiti di posisi itu, Suk-won terus diletakkan di bangku simpanan dengan hanya sembilan penampilan direkodkan pada 2022.
Suk-won terpaksa meninggalkan Kedah berikutan isu kecederaan. — Facebook/KDA FC
Pada Mei 2022, dia akhirnya memilih untuk meninggalkan skuad Sang Kenari dengan beberapa laporan mengatakan pemain itu mengambil keputusan untuk bersara atas isu kesihatan.
Namun, menerusi informasi yang diperolehi di laman sesawang transfermarkt, pemain berusia 33 tahun itu difahamkan masih belum menamatkan kariernya.
Jadi, melihat kepada situasi ketika ini, Kelantan FC merupakan destinasi terbaik memandangkan mereka baru sahaja kehilangan khidmat Carli de Murga.
Di samping itu, kehadiran Kim Min-gyu dan Kang Yi-chan pastinya menjadi satu tarikan buat Suk-won untuk menyesuaikan diri di Pantai Timur negara.
2. Luke Woodland
Selepas bertahun-tahun diletakkan di skuad simpanan, Luke Woodland akhirnya memilih untuk berkelana dengan meninggalkan Terengganu FC pertengahan Januari lalu.
Pemain berusia 27 tahun itu sebelum ini pernah mengumpul pengalaman dengan beraksi di beberapa kelab bawahan England, termasuk Oldham Athletic dan York City.
Namun, dengan dia sukar untuk mendapatkan tempat dalam pasukan, Woodland mengambil keputusan untuk mencuba nasib di Filipina yang mana merupakan tanah kelahiran ibunya.
Di negara berkenaan, pemain berketinggian 1.83 meter itu berpeluang beraksi bersama sebuah kelab ternama, iaitu Ceres-Negros untuk semusim.
Selepas bakatnya mula terserlah, Kuala Lumpur (KL) City FC melakukan 'perjudian' dengan membawanya masuk pada 2019 dengan mereka ketika itu baru sahaja layak ke Liga Super.
Woodland lebih kerap diletakkan dalam skuad simpanan Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Tidak lama selepas itu, kontraknya tamat dan dia berkelana ke Thailand untuk menyertai Ratchaburi Mtir Phol sebelum kembali ke Liga Malaysia pada 2022 untuk menyertai Terengganu FC.
Meskipun mempunyai pengalaman tersendiri, Woodland masih gagal untuk menembusi skuad utama dengan Nafuzi musim lalu lebih berminat untuk menurunkan gandingan Pape Diakite dan Shahrul Nizam Ros Hasni.
Oleh itu, dia diletakkan di Terengganu FC II yang menamatkan saingan di tangga keempat dengan salah satu rekod pertahanan terbaik.
Bagaimanapun, dengan skuad Sang Penyu menerima kehadiran beberapa import baharu, Woodland akhirnya berpisah dengan kontraknya difahamkan ditamatkan serta-merta.
Jadi, dengan usianya yang masih muda, Perak FC dilihat sebagai salah satu destinasi terbaik memandangkan mereka juga masih cuba untuk memperkukuhkan lagi benteng pasukan.
Tambahan pula, pengendali skuad TBG, Datuk Lim Teong Kim sepertinya cukup tertarik untuk menggunakan khidmat pemain muda seperti mana dapat disaksikan musim ini.
3. Nabil Hakim Bokhari
Salah seorang pemain yang menarik perhatian ketika aksi Kejohanan Piala AFF B-19 2018 yang berlangsung di Indonesia ialah bek kiri, Nabil Hakim Bokhari.
Hal itu adalah kerana dia melakukan terjahan kasar ke atas pemain Tajikistan, Ziyovuddin Fuzaylov yang berakhir dengan kecederaan kepada pemain lawan itu.
Bagaimanapun, dengan skuad kebangsaan ketika itu muncul sebagai pemenang, namanya mula meningkat dengan Petaling Jaya (PJ) City FC mendapatkan khidmatnya pada 2020.
Dia yang ketika itu berusia 20 tahun sememangnya menarik perhatian meskipun skuad The Phoenix bukanlah sebuah pasukan terbaik dalam Liga Super.
Nabil mempunyai kebolehan untuk beraksi sebagai pemain pertahanan kiri.
Namun, setelah semusim, bakatnya semakin terserlah sehingga menyebabkan seteru Lembah Klang, KL City FC menawarkan kontrak pada musim berikutnya.
Tetapi, dengan skuad Warga Kota memiliki Declan Lambert dan Irfan Zakaria tahun lalu, peluang Nabil untuk beraksi dengan lebih kerap sememangnya terkesan.
Dalam kesemua kejohanan disertai KL City FC musim lepas, pemain berusia 24 tahun itu hanya mencatatkan lima penampilan dengan tiada daripadanya direkodkan dalam Piala AFC.
Jadi, dengan kebolehannya semakin merosot, Nabil akhirnya dilepaskan sementara KL City FC membawa masuk bekas bek kiri Sabah FC, Nazirul Naim.
Kini, Nabil difahamkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan yang mana ia merupakan peluang terbaik buat KDA FC untuk mendapatkan pemain itu.
Ia berikutan isu pertahanan yang terlalu mudah dibolosi di samping masalah disiplin Wan Amirul Afiq yang sudah dilayangkan kad merah sebanyak dua kali musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram