Exco Sukan Selangor saran lebih banyak PBT tampil bantu bekas atlet negeri


  • Primer
  • Isnin, 17 Apr 2023

Mohd Khairuddin Othman.

DEMI menghargai jasa bekas atlet kebangsaan, kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan menganjurkan Majlis Iftar Menghargai Jasa Atlet di Dewan MPKS, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor pada Ahad.

Majlis tersebut yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) melibatkan lebih 300 hadirin yang terdiri daripada wakil penduduk dan 150 bekas atlet serta atlet para Selangor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM30,000 sebagai sumbangan raya kepada 150 bekas atlet dan atlet para negeri tahun ini.

Mohd Khairuddin Othman berkata, bantuan tersebut sebahagian daripada Program Ceria Atlet Selangor yang diadakan setiap tahun bagi meringankan beban atlet membuat persiapan Syawal.

“Sewaktu Aidilfitri inilah program kita manakala hari biasa kita pergi rumah ke rumah dan memberi tawaran apakah keperluan mereka.

“Semua atlet terpilih ini yang pernah berjasa di peringkat negara dan antarabangsa. Saya berterima kasih kepada Yakeb kerana membantu negeri untuk sama-sama dekati atlet,” katanya selepas ditemui selepas Majlis Iftar Menghargai Jasa Atlet yang turut dihadiri Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Dalam majlis sama, kerajaan negeri turut menyumbang RM22,500 kepada 45 Jawatankuasa Penduduk dan RM10,000 untuk Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama.

file7psujpx0j76hdgyzkqc

Khairuddin (tengah) bergambar bersama bekas atlet Selangor sempena Majlis Iftar Menghargai Jasa Atlet di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Saujana Utama.

Tambahnya lagi, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor disaran menyediakan tapak khusus kepada bekas atlet para di negeri ini yang aktif dalam muzik jalanan.

Mohd Khairuddin berkata, setakat ini, tiga PBT sudah berbincang bagi melaksanakan dan menyediakan tempat sesuai kepada persatuan berkenaan.

Jelasnya, tiga PBT banyak membantu kerajaan negeri ke arah itu antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

"Kita berharap PBT dapat menyediakan tempat sesuai khusus untuk atlet cacat penglihatan di negeri ini dan tidak menyusahkan mereka bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti muzik jalanan.

"Antara tempat yang boleh disediakan ialah di bazar larut malam, pusat beli-belah yang mana PBT menyediakan tapak, manakala dari segi keperluan serta kos lain diuruskan kerajaan negeri," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram