'Tiada bajet tapi mahu berkualiti?', 4 bintang import Asean masih status 'free agent'


  • Podium
  • Ahad, 16 Apr 2023

Beberapa pemain bintang skuad kebangsaan negara rantau Asean pernah menabur bakti di kelab Malaysia sebelum ini.

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dijangka dibuka pada Julai bagi memberi peluang pasukan bertanding dapat menambah baik skuad masing-masing.

Pastinya pertukaran pemain import akan berlaku apabila mereka tidak boleh beraksi dengan baik sepanjang pusingan pertama liga.

Kadangkala pemain-pemain import dilepaskan disebabkan pihak pengurusan sudah membuat perancangan untuk menghadapi musim baharu.

Disebabkan perancangan pasukan, beberapa pemain import yang bagus terpaksa dilepaskan bagi merealisasikan perancangan yang sudah dibuat.

Jadi menjelang tirai perpindahan kedua Liga M, pasukan yang dilihat bergelut ataupun inginkan rombakan kecil boleh mendapatkan pemain-pemain yang sudah terbukti mempunyai pengalaman beraksi di Malaysia.

Malah senarai pemain import ini boleh didapati dengan bajet yang kecil namun memiliki kualiti pemain kebangsaan.

Majoriti senaraikan empat pemain bintang Asean yang masih belum mempunyai pasukan menjelang jendela perpindahan kedua liga:

Sanrawat kini ejen bebas selepas bersama KDA FC musim lalu. Facebook/KDA FC

1. Sanrawat Dechmitr (Thailand)

Selepas diambil alih oleh usahawan tempatan, Tan Sri Mohd Daud Bakar, Kedah Darul Aman (KDA) FC kelihatan lebih yakin untuk melangkah ke hadapan.

Hal tersebut dapat disaksikan apabila mereka melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad 2022 dengan keputusan untuk tidak mengekalkan hampir kesemua pemain import.

Antara yang menjadi 'mangsa' terhadap langkah drastik itu ialah pemain kebangsaan Thailand, Sanrawat Dechmitr walaupun dia menjadi antara watak penting pasukan.

Meskipun bukanlah seorang yang mahir melakukan hantaran berkualiti, jeneral tengah pasukan itu cukup dikenali dengan kesungguhannya untuk merebut bola daripada pihak lawan.

Ciri-ciri tersebut pastinya cukup digemari pasukan Liga Super yang mengharapkan seseorang yang sanggup bertungkus-lumus dalam membolehkan pasukan menyerang dengan lebih yakin.

Woodland mempunyai kekuatan fizikal yang dapat membantu memantapkan kubu pertahanan pasukan diwakilinya. Twitter

2. Luke Woodland (Filipina)

Pemain kacukan Inggeris-Filipina yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia bersama Kuala Lumpur City dan Terengganu FC, Luke Woodland masih tiada pasukan lagi.

Woodland memulakan karier bersama Bolton Wanderes, Oldham Athletic, dan York City di England sebelum menyertai Ceres Negros di Filipina pada tahun 2017.

Ketika bersama TFC, Nafuzi Zain pernah mengintai pemain ini namun malangnya, pasukan Liga Thailand lebih pantas mendapatkan khidmat terlebih dahulu.

Pemain berusia 27 tahun itu mempunyai kekuatan fizikal yang dapat membantu memantapkan kubu pertahanan pasukan diwakilinya.

Bersama skuad kebangsaan Filipina, Woodland sudah melakukan 23 penampilan sejak melakukan debut pada 2015.

Kali terakhir Reed (kanan) beraksi di Malaysia ialah dengan mewakili UiTM FC. Facebook/UiTM FC

3. Adam Reed (Filipina)

Adam Reed yang beraksi di posisi tengah bertahan pernah menyertai beberapa pasukan Liga Inggeris di awal karier antaranya Sunderland, Bradford dan Portsmouth.

Pemain berusia 31 tahun itu berhijrah ke Filipina untuk mewakili Stallion FC, Kaya FC dan Davao Aguilas pada 2018.

Selepas tampil cemerlang bersama kelab di Filipina, Reed menyertai kelab Liga Thailand, Chainat Hornbill pada 2019.

Kali terakhir Reed beraksi di Malaysia ialah dengan mewakili UiTM FC pada 2021 yang mana sebelum itu dia bermain bersama Sri Pahang FC.

Bersama skuad kebangsaan Filipina, Reed melakukan sembilan penampilan sejak melakukan debut pada 2017.

Ketkeophomphone

Ketkeophomphone musim lalu beraksi bersama Sri Pahang FC. Facebook

4. Billy Ketkeophomphone (Laos)

Bekas pemain Tok Gajah, Billy Ketkeophomphone memegang reputasi sebagai pemain pertama Laos yang beraksi di Liga Super, namun prestasinya bersama Sri Pahang dilihat tidak cukup memuaskan hati para penyokong.

Pemain berusia 33 tahun itu menjadi perhatian para peminat bola sepak Asia Tenggara apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan Laos buat kali pertama ketika saingan Piala AFF di Singapura pada 2021.

Ketkeophomphone pernah beraksi dengan pasukan Ligue 2 Perancis, USL Dunkerque dan hanya menjaringkan tiga gol dalam 25 penampilan.

Berdasarkan rekod, Ketkeophomphone hanya mengumpulkan enam gol dalam 53 penampilan Ligue 1 dan 23 gol dalam saingan Ligue 2.

Musim lepas Ketkeophomphone beraksi bersama Sri Pahang FC sebelum dilepaskan pada jendela perpindahan kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram