MENJELANG musim perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina mahupun Deepavali, rata-rata rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama sudah pasti akan akan pulang ke kampung halaman masing-masing berikutan suasana perayaan di kampung lebih meriah.
Begitu juga dengan umat Islam yang mana akan pulang ke kampung kerana kemeriahan menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara amat dirasai.
Namun begitu, berbeza bagi segelintir pihak yang mengambil peluang sempena cuti Aidilfitri untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan sama ada di dalam atau luar negara.
Paris bersama rakan-rakannya ketika bercuti.
Bagi Paris Nurashikin Mohamad Supian,39, memilih untuk menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakannya yang tidak pulang ke kampung halaman kerana lebih mengutamakan pekerjaan.
Menurut Pengurus Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam itu, dia lebih memilih untuk beraya di Kuala Lumpur kerana sudah pasti musim perayaan akan menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas dengan dipenuhi oleh orang ramai yang pulang ke kampung.
"Aktiviti raya tahun ini, saya akan meluangkan masa di pusat beli-belah, ke panggung wayang dan membeli keperluan barangan dapur.
"Namun begitu saya dan rakan-rakan mempunyai rancangan untuk melawat ke tempat yang mempunyai pantai dan saya sendiri suka tempat yang kaya dengan budaya serta sejarah.
"Walaupun beraya sendirian di Kuala Lumpur, lazimnya untuk persediaan raya, saya akan membeli dua atau tiga pasang baju raya yang sesuai dipakai semasa majlis rasmi atau ke pejabat," kongsi Paris yang berasal dari Johor itu.
Tiket mahal antara sebab Andi memilih untuk beraya di bumi Semenanjung.
Selain itu, menerusi pengalaman daripada Andi Rahmat, 25, sudah pasti bercuti di kampung halaman lebih meriah namun memandangkan dia ingin membuat kelainan sempena Hari Raya pada 2022, dia memilih untuk bercuti bersama rakannya di Pulau Langkawi, Kedah.
Percutian selama tiga hari dua malam itu hanya memakan kos serendah RM500. Kos tersebut dikatakan berbaloi kerana dalam tempoh percutian itu, banyak aktiviti menarik dapat dilakukan sekali gus mengurangkan kesedihan tidak dapat beraya di kampung halaman.
"Saya memilih untuk bercuti ke Pulau Langkawi kerana tidak mampu untuk balik ke kampung disebabkan kos yang sangat tinggi berbanding ke Langkawi," kata Andi yang berasal dari Sabah itu.
Antara pengalaman menarik mereka lakukan adalah berkhemah di tepi pantai, menyaksikan pertunjukan api di samping dapat mandi-manda sambil melihat keindahan hidupan laut.
"Walaupun tidak dapat beraya di kampung halaman, namun pengalaman sepanjang percutian di Pulau Langkawi dapat mengubati duka dalam hati," kongsinya.
Maziah ketika berada di Perth menyambut perayaan Hari Raya.
Di samping itu, menurut Dr. Maziah Bosro,34, pengalamannya ketika beraya di perantauan iaitu di Perth, Australia pada tahun 2018, merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Ini kerana selain dapat bercuti, dia juga berpeluang menyelami suasana beraya di rantau orang. Antara sebab utama Maziah memilih untuk melancong ke luar negara ketika musim perayaan ialah kerana ia waktu off-peak bagi kebanyakan destinasi pelancongan.
Memandangkan sebahagian besar orang pulang ke kampung halaman, Maziah yang juga Pegawai Perubatan di Selayang, Selangor mengambil kesempatan itu untuk bercuti.
"Biasanya saya akan bercuti pada hari kedua atau raya ketiga selepas beraya bersama keluarga dan sanak saudara.
"Lagipun kampung halaman saya juga di Selangor, jadi saya masih sempat beraya dengan sanak saudara terdekat dan baki cuti raya saya akan manfaatkan untuk bercuti sebelum kembali ke pejabat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram