KEGAGALAN dalam membawa pulang sebarang mata di halaman sendiri menentang Kuala Lumpur (KL) City FC menunjukkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) belum lagi menemui rentak dalam Liga Super.
Kedudukan KDA FC yang berada di tangga kelima dalam carta saingan Liga Super dikatakan tidak sesuai dengan pencapaian pasukan itu berikutan corak permainan yang ditampilkan.
Walaupun berjaya meledak dua gol dalam masa pertama di Stadium Darul Aman, Kedah, namun KL City FC terus mematahkan serangan Sang Kenari dengan mempertahankan gol kemenangan 3-2.
Lee Tuck tidak dapat mengekalkan rentak permainan dalam skuad KDA FC.
Pasukan KDA FC dikatakan membuat pelaburan dari segi membeli pemain yang berasal dari luar negara, namun tetap tidak mengubah corak permainan pasukan itu sendiri.
Terdapat juga segelintir penyokong menyalahkan pengendali KDA FC, Nafuzi Zain kerana pemilihan taktikal yang tidak sesuai.
Namun begitu, rata-rata daripada mereka tidak menyalahkan bekas jurulatih skuad Terengganu FC (TFC) kerana kekalahan itu disifatkan dari kesalahan pemain-pemain itu sendiri.
Tapi bagi pandangan Analisis Tangga Ayam, Kedah dalam game ini sememangnya sangat mengecewakan dari aspek defending kerana mudah bolos terutama di bahagian kanan.
"Wan Amirul Afiq dan Bonai (Rodney Calvin) tak mampu berfungsi dengan baik menyebabkan bahagian kanan tu dah jadi weakness area buat pasukan Kedah.
"Aksi Hidalgo dalam perlawanan itu tidak konsisten, decision making teruk dan tidak mempunyai extra touch, Hidalgo dan Lee Tuck ni sepatutnya perlu ada final pass yang baik, Itu yang berlaku sekarang bila dua pemain ini tak mampu nak buat benda itu," katanya.
Lee Tuck yang berasal dari England itu pernah membantu pasukan Harimau Malaya mara ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada Thailand ketika menghadapi kejohanan Piala AFF.
Namun begitu, pemain 34 tahun itu tidak dapat mengekalkan rentak permainan dalam skuad KDA FC yang mana masih tidak menunjukkan potensi yang memberangsangkan.
Penyerang import KDA FC, Manuel Hidalgo dikatakan tidak konsisten kerana beberapa kesilapan dalam permainan yang ditunjukkan ketika menentang KL City FC.
Selain KL City, PDRM satu lagi pasukan yang berjaya menjinakkan Kedah di Darul Aman dengan kemenangan 1-0.
KDA FC bakal berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan untuk bertemu skuad Jang pada 28 April yang mana merupakan platform terbaik untuk kembali ke landasan kemenangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram