KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) kini belum lagi menemui rentak dalam Liga Super meskipun sudah membuat pelaburan yang besar di dalam pasukan bagi menghadapi saingan liga musim ini.
Skuad Sang Kenari yang dilengkapi pemain-pemain bintang seperti Lee Tuck, Manuel Ott, Manuel Hidalgo, Kalamullah Al-Hafiz dijangka akan melakukan perubahan sekali lagi selepas prestasi tidak menentu KDA FC.
Menerusi video ucapan raya yang dimuat naik Facebook rasmi Sang Kenari, pemilik KDA FC, Dr. Mohd Daud Bakar berkata, berkemungkinan beliau akan melakukan tambah baik dalam pasukan.
"Dalam masa suku tahun perlawanan tahun ini dengan pelbagai episod naik turun Kedah, saya perlukan kekuatan minda yang lebih.
"Sebagai pemilik saya perlu berfikir lebih berani, tegas dan mungkin akan mengambil pendekatan yang tidak pernah buat sebelum ini untuk memastikan pasukan dapat dibetulkan kompasnya, cara pemikiran, DNA dan sebagainya.
"Mungkin akan berlaku perubahan-perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kerana tidak mungkin kita mengharapkan suatu keputusan yang baharu dengan melakukan perkara yang sama," katanya dalam video ucapan itu.
Dr. Mohd Daud Bakar.
Tambahnya lagi, beliau tidak berpuas hati dengan kekalahan dua kali berturut-turut skuad Hijau Kuning di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur City serta sempat mendedahkan punca utama perkara tersebut berlaku.
"Saya rasa selepas dua perlawanan ini kita melihat pemain mempunyai kemahiran individu yang tinggi, rekod yang baik, resume yang baik.
"Tapi apabila mereka bermain ada sikit kekurangan iaitu sifat untuk kehadapan, sifat untuk beri cabaran, sifat menutup sebarang peluang pihak lawan menjaringkan gol dan sebagainya.
"Saya rasa amat kecewa kerana sikap itu sangat penting yang mana kita belajar.
"Bila kita bermain bola sudah pasti yang paling penting ada semangat juang yang tinggi, berjuang sehabis-habisan.
"Jadi kekalahan dua kali berturut-turut, kalah itu biasa dalam pertandingan tetapi agak lemah dan mengecewakan erti kata lain kita tidak mempunyai semangat juang untuk dipamerkan dengan baik," jelasnya.
Dalam sembilan perlawanan, anak-anak buah Nafuzi Zain kini sedang menduduki tangga kelima Liga Super dengan lima kekalahan, satu seri dan tiga kekalahan.
Selepas ini, KDA FC akan bertandang ke Stadium Paroi, Negeri Sembilan dengan miisi memburu tiga mata penuh bagi memperbaiki kedudukan pasukan di dalam Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram