PRESTASI terumbang-ambing Kedah Darul Aman (KDA) FC sekali lagi menjadi bahan bualan selepas mereka tumpas di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super pada Selasa.
Meskipun menurunkan kesebelasan utama terbaik, kelab Utara tanah air itu sepertinya buntu dalam mengekang jentera serangan pihak lawan.
Bukan itu sahaja, masalah juga timbul dari segi serangan pasukan yang sering mensia-siakan setiap peluang yang terhidang di hadapan pintu gol skuad Warga Kota.
Perhatian pastinya diberikan kepada ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang mengambil pendekatan berani dengan melakukan perubahan terhadap barisan pemainnya.
Hal itu adalah kerana terdapat desakan tidak henti daripada majoriti penyokong yang mengharapkan skuad Sang Kenari muncul sebagai pencabar takhta Liga Super musim ini.
Ini termasuk keputusan untuk menggugurkan penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira bagi memberi peluang kepada seorang lagi pemain import, Jonathan Balotelli.
Balotelli sebelum ini terpaksa berpuas hati dengan status pemain gantian apabila Nafuzi lebih mempercayai khidmat Lira dalam lapan perlawanan awal Liga Super.
Tetapi, dengan hanya tiga gol diperolehi setakat ini, tidak timbul sebarang persoalan apabila Balotelli diberikan peluang berada dalam kesebelasan utama di Stadium Darul Aman, Kedah.
Kepercayaan itu dilihat membuahkan hasil buat kedua-dua pihak dengan penyerang berusia 34 tahun itu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-25.
Meskipun skuad Sang Kenari hanya mampu berputih mata daripada pertembungan berkenaan, nama Balotelli terus mekar di bibir penyokong Hijau Kuning.
Balotelli mula diangkat sebagai watak penting buat skuad Hijau Kuning musim ini. — Facebook/KDA FC
Selain bijak membaca gerakan pertahanan KL City FC, pemain terbabit juga wajar diberikan pujian dengan kerajinannya untuk turun dan merencanakan serangan pasukan.
Lebih menarik lagi, seorang pengikut setia kelab, YM Putera Awang berpendapat cara permainan penyerang itu tidak kurang hebatnya seperti legenda kelab.
"Balotelli merupakan jelmaan Marlon Alex James," tulisnya menerusi laman Facebook Penyokong Kedah Darul Aman FC pada Selasa.
Meskipun kedua-dua penyerang tersebut masih mempunyai jurang besar dari segi kualiti dan pencapaian, pandangan YM sepertinya diterima baik rata-rata penyokong KDA FC.
"Ya, saya setuju dengan pendapat bahawa Balotelli merupakan jelmaan seperti Marlon Alex James yang bersama Kedah dari 2006 hingga 2008," kata Amirul Aliff.
"Pada saya, dia main cukup tenang dan baik kerana mereka yang lain beraksi dengan sedikit mengecewakan setakat ini," kata Mohd Sohaimi Mohd Sohaimi.
Nama Marlon sememangnya cukup sinonim dalam kalangan penyokong Kedah ketika dia membantu pasukan Utara menjuarai tiga trofi semusim untuk dua tahun berturut-turut.
Pasukan yang dikendalikan Azraai Khor Abdullah itu boleh dianggap sebagai zaman kegemilangan Sang Kenari yang digelar 'double treble' dengan Marlon merupakan salah seorang tonggak kelab.
Penyerang kelahiran St Vincent and the Grenadines itu bagaimanapun memilih untuk berkelana ke Amerika Syarikat untuk menyertai Vancouver Whitecaps pada 2009.
Bagi Balotelli pula, tiga gol dan satu bantuan jaringan dalam sembilan penampilan Liga Super musim ini sedikit sebanyak membantu KDA FC berada di kedudukan kelima Liga Super 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram