Kami perlu realistik berdepan JDT — Manzoor


  • Podium
  • Jumaat, 21 Apr 2023

Kehadiran Manzoor banyak mengubah nasib skuad Harimau Kumbang musim ini. — Facebook/Penang FC

PENOLONG jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid mengakui pasukannya perlu bersifat lebih realisitik ketika aksi berdepan Johor Darul Takzim (JDT) ketika suku akhir Piala FA kelak.

Katanya, mana-mana pasukan perlu mengambil kira kualiti yang dimiliki lawan dalam pelbagai aspek dengan dia menegaskan taktikal bertahan perlu diterapkan jika berdepan kelab lebih berkemampuan.

"Jika anda melihat Jose Mourinho, seorang pengurus bertaraf dunia dan memimpin pasukan yang berkualiti dan itu strategi (bertahan) yang digunakan ketika bertemu lawan yang lebih kuat, tidak salah 'parking bas' jika lawan JDT.

"Ia bergantung kepada sasaran kami, samada mahu menikmati perlawanan namun dibelasah pasukan lawan, ia secara tidak langsung menurunkan moral dan semangat pasukan, ia sesuatu yang tidak baik buat pasukan," katanya.

PDRM FC tampak jadi inspirasi terbaik buat Penang susulan strategi 'sekatan jalan raya' skuad The Cops menjadi apabila berjaya menyekat JDT berpesta jaringan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor pada Rabu lalu, jaringan tunggal Fernando Forestieri menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

Penang sebelum ini mara ke suku akhir Piala FA setelah menundukkan Kuching City 4-0 dan pasukan dari Utara tanah air itu dijangka kekal berada di bawah bimbingan Manzoor hingga akhir musim.

Ini susulan jurulatihnya Chong Yee Fat difahamkan belum sihat sepenuhnya daripada masalah jantung.

"Pemain-pemain mengambil positif dengan kedudukan semasa ini. Mereka perlu melakukan yang terbaik, termasuk buat diri saya perlu memastikan pasukan meraih keputusan positif," jelas Manzoor.

Kehadiran pengendali berusia 46 tahun itu dilihat cukup bermakna buat skuad Harimau Kumbang apabila mereka ketika ini berada di kedudukan kelapan Liga Super hasil kutipan 11 mata daripada lapan perlawanan.

Mereka bakal kembali dalam aksi dengan pertemuan bersama Kuching City FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 27 April dalam usaha mencatatkan kemenangan keempat musim ini dalam liga. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram