‘Ada jiwa pulun setiap perlawanan' Bojan Ciger dilabel import paling berbaloi Sang Kenari


  • Podium
  • Khamis, 20 Apr 2023

Ciger membuka akaun golnya pada musim ini ketika perlawanan menentang KL City pada Selasa di Stadium Darul Aman. — Facebook/KDAFC

Kedah Darul Aman (KDA) FC baru-baru ini gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 2-3 di tangan Kuala Lumpur (KL) CIty FC pada aksi kesembilan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa.

Ia adalah kekalahan ketiga anak buah Nafuzi Zain di laman keramat mereka selepas tewas kepada Penang FC dalam saingan Piala FA dan PDRM FC dalam aksi liga sebelum ini.

Tiga jaringan dari trio skuad Warga Kota iaitu dari Paulo Josue pada minit ke-11, Romel Morales dan penyerang import Brazil, Herlison Caion pada babak kedua sudah cukup meranapkan hasrat Kedah untuk mendapat tiga mata berharga.

Mempertaruhkan Jonathan Balotelli sebagai penyerang utama Sang Kenari sedikit membuahkan hasil apabila tonggak import dari Brazil itu berhasil meledak satu jaringan pada aksi Liga Super di bumi Darul Aman itu.

Manakala, jaringan kedua dari Bojan Ciger pula memberi senyuman kepada kepada penyokong Darul Aman, sekali gus menyelamatkan pasukan Hijau Kuning daripada dimalukan dengan jurang besar daripada pasukan pelawat.

WhatsApp Image 2023-04-20 at 16.53.19

Ciger ketika aksi menentang skuad Warga Kota pada Selasa. — Facebook/KDAFC

Selain daripada tandukan cantik daripada perlawanan berkenaan, Ciger juga mendapat pujian daripada penyokong dan rata-ratanya menyifatkan pemain dari Serbia itu merupakan import paling berbaloi yang dibawa masuk pihak pengurusan.

Ciger yang berperanan sebagai pertahanan tengah bukan sahaja cemerlang melaksanakan tugasnya dalam menjaga kubu pasukan, malah pemain berusia 28 tahun itu juga dilihat mempunyai ciri-ciri untuk menjadi ketua pasukan.

“Pemain import yang paling berkualiti setakat ini. Setiap aksinya sentiasa yang terbaik dan mempunyai jiwa ‘pulun’ dalam setiap perlawanan,” komen laman penyokong Kedah, Hijau Kuning tetap dihatiku.

Leadership dan ketenangan yang dia ada boleh jadi kapten,” tambah seorang lagi peminat Hijau Kuning, Firdz Love Aja.

“Dia ini seorang bagus 100 peratus untuk Kedah,” komen seorang lagi peminat, Wahid Zainol.

Bekas pemain kelab Navbahor Namangan, Liga Utama Uzbekistan itu menjadi pilihan utama pengendali Nafuzi Zain dan sudan tampil dalam kesemua perlawanan Liga Super setakat ini.

Pemain bertubuh sasa itu menyertai Kedah pada awal Januari ini dan ia merupakan pengalaman pertamanya berkelana luar Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram