'Nak perfect pergi sokong pasukan banyak duit', Manzoor kecewa sikap fans Harimau Kumbang


  • Podium
  • Khamis, 20 Apr 2023

Manzoor menzahirkan rasa terkilannya dengan sikap segelintir penyokong yang masih tidak menghargai usaha pasukannya. — Facebook/PenangFC

WALAUPUN berhasil meraih tiga mata berharga di laman sendiri, pengendali Penang FC, Manzoor Azwira menzahirkan rasa terkilannya dengan sikap segelintir penyokong yang masih tidak menghargai usaha pasukannya.

Skuad Harimau Kumbang berhasil mendapatkan kemenangan ketiga dalam saingan Liga Super musim 2023 selepas menundukkan Kelantan United FC (KUFC) 2-0 di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Selasa.

Dałam perlawanan berkenaan Penang FC berhasil memanfaatkan kelemahan pihak lawan yang kehilangan khidmat tiga tonggak iaitu Devid Santana, OJ Porteria dan Syazwan Zainon.

"Saya sangat bersyukur dengan kemenangan pasukan ini, tiada apa yang boleh saya minta lebih daripada mereka (anak-anak buahnya).

“Namun terdapat segelintir penyokong yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh pasukan yang membuat saya kecewa selepas tamat perlawanan ini," katanya memetik laporan dari Stadium Astro.

WhatsApp Image 2023-04-20 at 08.49.04

Tangkap layar hantaran dari Manzoor di laman Facebooknya.

Malah, Manzoor juga sempat meluahkan perasaan kecewanya itu di hantaran Facebook laman rasminya yang mana dia menyatakan banyak kekangan menyelubunginya ketika ini dalam menguruskan Harimau Kumbang.

"Belajarlah bersyukur. Memang kami tidak bagus lagi, kami sedar kami masih baharu. Nak perfect pergi sokong pasukan yang banyak duit. Saya dah letihlah, ingat senang ke nak buat kerja dengan banyak kekangan ini," luahnya.

Sementara itu, pemain tengah Penang, Nik Akif Syahiran Nik Mat lega berjaya menambah koleksi jaringan bersama skuad Penang musim ini.

Ternyata, penghijrahannya ke negeri Pulau Mutiara itu memberikan pulangan lumayan setelah 'diperam' di bangku simpanan ketika bersama Terengganu dalam dua musim terdahulu.

"Saya sangat bersyukur kerana berjaya memperoleh tiga mata buat pasukan. Saya sangat gembira kerana dapat mendapat semula rentak terbaik beraksi dan saya berharap peluang untuk beraksi itu tetap diberikan dalam aksi akan datang," kata Nik Akif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram