SELEPAS perlawanan Penang FC menang ke atas Kelantan United FC (KUFC) 2-0, kecoh dalam kalangan penyokong apabila pengendali sementara Harimau Kumbang, Manzoor Azwira Abd Wahid meluahkan rasa kecewanya terhadap peminat kelab berkenaan.
Penang FC berhasil meraih kemenangan ketiga dalam perlawanan kesembilan Liga Super 2023 yang diadakan di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Selasa.
Dalam hantaran di laman Facebook peribadinya, Manzoor terkilan terhadap penyokong yang masih melemparkan komen negatif terhadap pasukannya dan beliau juga menyatakan banyak kekangan menyelubunginya ketika ini dalam menguruskan Harimau Kumbang.
"Belajarlah bersyukur. Memang kami tidak bagus lagi, kami sedar kami masih baharu. Nak perfect pergi sokong pasukan yang banyak duit. Saya dah letihlah, ingat senang ke nak buat kerja dengan banyak kekangan ini," luahnya dalam hantaran yang sudah dipadam itu.
Tangkap layar hantaran dari Manzoor di laman Facebooknya.
Tidak cukup dengan itu, pengendali berusia 46 tahun tersebut juga meluahkannya ketika sesi sidang media selepas perlawanan kesembilan itu.
"Saya sangat bersyukur dengan kemenangan pasukan ini, tiada apa yang boleh saya minta lebih daripada mereka (anak-anak buahnya).
“Namun terdapat segelintir penyokong yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh pasukan yang membuat saya kecewa selepas tamat perlawanan ini," katanya memetik laporan dari Stadium Astro.
Dalam pada itu, ketika Majoriti mendapatkan Manzoor untuk mengulas lebih lanjut mengenai isu berkenaan, bekas pemain Penang itu berkata, beliau tidak ingin lagi membincangkan perkara itu.
“Saya tidak mahu panjangkan isu ini. Saya nak fokus raya. Tidak apa, nanti mereka (penyokong) sokonglah pasukan itu (Penang FC),” katanya ringkas sambil berkongsi bahawa tahun ini, beliau akan meyambut perayaan Aidilfitri di Kedah dan Pulau Pinang.
Keputusan di laman sendiri itu menyaksikan KUFC kekal di tempat ke-14 manakala Penang FC di tangga kelapan carta Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram